My Add

Friday 23 August 2013

Malaysia negara contoh kendali pemulihan banduan

TAIPING, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Keberkesanan Program Pemulihan Pemasyarakatan iaitu sebuah program pemulihan di luar tembok penjara yang dilaksana Jabatan Penjara untuk banduan di negara ini dijadikan contoh oleh beberapa negara luar.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pelaksanaan program tersebut dilihat bukan sahaja memberi impak yang tinggi dari aspek pemulihan malah berupaya mengurangkan kadar jenayah.

Sehubungan itu, kata beliau, hampir setiap bulan pihaknya menerima kunjungan pihak tersebut untuk meneliti amalan terbaik yang boleh dilaksanakan mereka di negara masing-masing.

Malah, tambah beliau, laporan mutakhir oleh Pasukan Penilai United Nation Convention Against Corruption (UNCAC) di bawah Secreteriat United Nations Office on Drug and Crime (UNODC) memuji pelaksanaan sistem parol di Malaysia.

"Jabatan Penjara kini bukan lagi di tahap yang lama dan apa yang kita jalankan seperti Program Pemulihan telah diiktiraf negara luar. Tidak cukup dengan lawatan, mereka turut menghantar pegawai-pegawai menjalani latihan dan kursus di negara kita.

"Mereka menyifatkan usaha-usaha mengintegrasikan pesalah ke dalam masyarakat yang dilaksanakan negara adalah satu contoh yang sangat positif dan perincian yang dilakukan dikagumi pakar-pakar," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Perbarisan Taman Latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan Penjara Siri 1/2013 melibatkan sebanyak 80 pegawai di Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping, di sini hari ini.

Dalam majlis tamat latihan tersebut, pelatih, Saiful Amirin Ibrahim dipilih sebagai pelatih terbaik keseluruhan dan menerima Piala Ketua Pengarah Penjara Malaysia.

Muhammad Syafiq Ramli dari Alor Star, Kedah pula dipilih sebagai pelatih terbaik akademik dan meraih piala Timbalan Ketua Pengarah Penjara.

Piala Pengarah Pembangunan Profesionalisme pula disandang Md. Saiful Nizam Shafie apabila dipilih sebagai pelatih terbaik menembak manakala Mohd. Hamsyari Iwan Karisnawen dari Sandakan, Sabah memenangi Piala Komandan PULAPEN bagi terbaik latihan luar.

Sementara itu, Zulkifli turut mengingatkan pegawai penjara mengikut prosedur dan peraturan semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap banduan.

Tegas beliau, mereka juga tidak boleh leka atau lalai kerana tugas di penjara menuntut pengorbanan besar selain berhadapan pelbagai cabaran dan kemungkinan.

"Sedetik pun kita tidak boleh terlena atau leka walaupun percaya bahawa tembok kita kukuh.

"Ini boleh kita ambil pengajaran daripada insiden kebakaran di penjara Medan, Indonesia yang menyebabkan ada banduan dapat memboloskan diri serta pelbagai insiden luar jangka melibatkan tahanan penjara dari negara lain," katanya. - UTUDAN 

No comments:

Post a Comment