My Add

Sunday 11 August 2013

2,356 rumah di Simunul dibanci

KOTA KINABALU, SABTU, 10 Ogos, 2013: Sebanyak sembilan buah kampung di kawasan Simunul, Semporna terlibat dalam program bancian awal bagi melaksanakan program perintis penyusunan semula kampung di atas air di negeri ini.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohamad Mentek berkata, sejumlah 2,356 buah rumah membabitkan 13,738 penduduk terlibat dalam bancian yang dilakukan lebih 100 orang petugas itu.

"Berdasarkan bancian sebanyak 815 buah rumah dimiliki warga asing, pemegang kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM 13) sebanyak 315 buah rumah, 170 buah rumah tidak mempunyai penghuni dan selebihnya adalah individu dengan status penduduk tetap," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad, bancian berkenaan bertujuan mengenal pasti jumlah penduduk dan kewarganegaraan setiap penduduk terlibat bagi memudahkan proses penyusunan semula kampung berkenaan.

Katanya, melalui bancian itu juga membolehkan pihaknya mewujudkan pelan tindakan pencegahan jenayah khususnya jenayah penyeludupan dan kes berkaitan dadah di kawasan itu.

"Kami berharap pelan pembangunan ini mampu memerangi jenayah dan mengubah kampung itu daripada kawasan setinggan tidak sistematik kepada perkampungan air yang boleh menarik pelancong," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment