My Add

Wednesday 21 August 2013

5 syarikat dijangka labur di Iskandar

Oleh AZMAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd., i2M Ventures Sdn. Bhd. (i2M) berharap empat hingga lima buah syarikat penyumberan luar akan membuat pelaburan di Iskandar Malaysia, Johor, sehingga akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Zulfiqar Zainuddin berkata, syarikat-syarikat itu terdiri daripada kombinasi syarikat asing dan tempatan.

Katanya, syarikat-syarikat itu terdiri daripada pelbagai sektor meliputi industri teknologi, kajian dan penyelidikan, kejuruteraan, perbankan dan telekomunikasi.

"Setakat ini, kami sudah menerima pelaburan syarikat penyumberan luar Frost &Sullivan di Iskandar dengan nilai pelaburan RM595 juta bagi tempoh lima tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Outsourcing Malaysia (OM) dengan Persatuan Profesional-profesional Penyumberan Luar Antarabangsa (IAOP) bagi menganjurkan Sidang Kemuncak Penyumberan Luar Asia Pasifik (APOS) di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Pengerusi Outsourcing Malaysia, David Wong Nan Fay, Pengerusi Persatuan Teknologi Komunikasi dan Maklumat Kebangsaan Malaysia (Pikom), Woon Tai Hai.

APOS telah mendapat tajaan daripada i2M, MSC Cyberport Sdn. Bhd., Accenture, VADS dan Malaysian Data Centre Alliance.

David Wong menambah, APOS akan dijalankan selama empat hari bermula 21 Oktober depan di Iskandar Malaysia.

Katanya, Iskandar Malaysia dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik dan berpotensi menarik minat pelabur di kalangan syarikat penyumberan luar.

Jelasnya, sebanyak 400 delegasi dijangka hadir dengan 30 peratus terdiri di kalangan peserta antarabangsa.

"Pada sidang kemuncak itu, kami juga akan melancarkan laporan kajian Tinjauan Perkhidmatan Perniagaan Global Malaysia.

"Pada masa yang sama, pihak penganjur akan memperkenalkan majlis anugerah kecemerlangan dengan enam anugerah akan dipertandingkan,'' ujarnya.

Bercakap mengenai pertumbuhan industri penyumberan luar di Malaysia, kata David Wong, Malaysia menyaksikan pertumbuhan sebanyak 12 peratus pada tahun lalu.

Sementara pertumbuhan di peringkat Asia Pasifik sebanyak sembilan peratus.

"India berada di belakang Malaysia dalam industri penyumberan luar dengan mencatatkan pertumbuhan 10 peratus pada tahun lalu berikutan kelembapan ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom,'' ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment