My Add

Saturday 17 August 2013

Kerajaan siap sedia bawa pulang penuntut di Mesir

Oleh HERMAN HAMID dan MOHD. FAIRUZ YUSOF

PEKAN, SABTU, 17 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih 3,000 penuntut Malaysia di Mesir akan dibawa pulang ke tanah air dengan segera sekiranya keadaan di negara tersebut bertambah buruk.

Menurut Perdana Menteri, semua agensi terlibat telah bersiap sedia dari segi logistik pada bila-bila masa jika diarahkan membawa pulang penuntut terbabit ke tanah air.

Malah, kata Najib, Ops Piramid juga akan digerakkan sekiranya keadaan memaksa walaupun akan melibatkan perbelanjaan besar.

"Pendirian kerajaan dalam hal ini kita mesti utamakan keselamatan pelajar. Setakat ini kalau mereka tak terlibat dalam tunjuk perasaan menyokong mana-mana pihak, mereka berada dalam keadaan selamat.

"Mereka juga tak harus masuk kawasan yang ada perhimpunan dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment