My Add

Monday 26 August 2013

6 ditahan, 2 senapang dirampas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

 *MAZLAN Lazim menunjukkan senjata dan peluru hasil kejayaan Op Cantas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan, semalam.
KOTA BHARU, AHAD, 25 Ogos, 2013: Polis Kelantan menahan enam suspek jenayah rakyat tempatan dan merampas dua laras senapang buatan sendiri termasuk 134 butir peluru hidup pelbagai jenis dalam Op Cantas Khas yang dijalankan di tiga lokasi di negeri ini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 4.30 pagi pada Rabu lalu di Guchil 2 Kuala Krai, pihaknya menahan dua lelaki selepas menemukan selaras senapang sepanjang 95 sentimeter di dalam kereta Proton Iswara dinaiki suspek.

Menurut beliau, senapang tersebut yang dipercayai dibeli dari negara jiran pada harga antara RM180 hingga RM200, disembunyikan di bawah tempat letak kaki penumpang belakang kereta itu untuk mengelak daripada ditemui.

Katanya, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai yang melakukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan susulan dan menemukan 36 butir peluru hidup yang disimpan dalam satu beg kecil.

"Kedua-dua suspek yang berusia 20 dan 27 tahun kini direman sehingga esok (26 Ogos) bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

"Kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama di Tumpat kira-kira pukul 9.30 pagi, polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dan anaknya serta merampas 80 butir peluru hidup.

Menurut Mazlan, serbuan dibuat di sebuah rumah bernombor Lot 557 di Kampung Air Dingin dan polis turut menemukan 556 kelongsong peluru pelbagai jenis dan beberapa barang lain seperti set sarung pistol, kotak simpanan pistol dan kelopak kosong pistol.

"Suspek yang ditahan adalah wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya berumur 22 tahun serta seorang lagi lelaki berumur 41 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

"Peluru yang dirampas pula turut membabitkan peluru bagi senjata api berat iaitu sembilan butir bersaiz 5.56mm, tujuh butir .38mm dan 10 butir 7.62mm," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek bagaimanapun telah dibebaskan hari ini atas jaminan polis dan pihaknya sedang memburu seorang lelaki yang juga suami wanita tersebut dikenali sebagai Mokhtar Gan Abdullah, 55, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli di sebuah rumah di Kampung Salor, Batu Melintang pada pukul 9 malam Rabu lalu menemukan selaras senapang buatan sendiri dan menahan seorang lelaki berumur 40 tahun.

"Lelaki itu ditahan di rumahnya dan hasil siasatan dia membawa polis ke sebuah lokasi berhampiran yang menjadi tempat senapang yang dibeli dari negara jiran dengan harga RM200 itu disimpan.

"Suspek direman sehingga Rabu ini dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata kerana memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen," kata beliau.

Pada sidang akhbar sama, Mazlan turut memaklumkan Op Cantas yang bermula 17 Ogos lalu di seluruh Kelantan telah membawa kepada penahanan 28 suspek membabitkan kesalahan jenayah dan pihaknya telah mengeluarkan 152 saman terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment