My Add

Monday 26 August 2013

Skuad khas: Polis KL sedia bantu

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Polis Kuala Lumpur sedia membantu menguatkan operasi dua skuad khas yang ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memerangi jenayah berat dan dadah di seluruh negara.

Ketuanya, Datuk Mohmad Salleh berkata, penubuhan skuad itu akan memberi impak yang lebih berkesan selain menyelesaikan pelbagai kes jenayah yang berlaku di ibu negara.

"Penubuhan skuad khas seperti yang diumumkan kerajaan semalam adalah bertepatan dan wajar pada masa kini, malah kita yakin skuad ini juga membantu setiap usaha yang kita lakukan selama ini.

"Polis Kuala Lumpur akan sentiasa memberi kerjasama yang erat dari segi informasi dan operasi agar mereka yang melakukan perkara membelakangi undang-undang dapat diambil tindakan," katanya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Segambut hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan penubuhan dua skuad khas dengan kekuatan 200 polis cawangan narkotik dan 200 polis bahagian jenayah berat ditubuhkan untuk memerangi masalah jenayah berat dan dadah di negara ini.

Skuad itu akan beroperasi dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan tidak akan melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Dalam perkembangan lain, Mohmad berkata, Op Cantas Khas yang dimulakan sejak minggu lalu mencapai kejayaan memberangsangkan di ibu negara.

"Op Cantas yang dilancarkan di ibu negara dilihat memberi kesan yang amat positif dalam aktiviti pembanterasan jenayah.

"Polis Kuala Lumpur tidak menumpukan di beberapa lokasi sahaja sebaliknya di setiap kawasan termasuk di sekitar Putrajaya. Detektif-detektif polis di setiap daerah juga saya boleh katakan sentiasa bersedia terutama sekali pada waktu malam bagi menjayakan operasi ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan individu atau kumpulan yang mencurigakan supaya menyalurkan segera maklumat itu kepada pihak polis. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment