My Add

Monday 5 August 2013

7,000 bomba bertugas menjelang raya

Oleh NORAZLINA ISMAIL

BUKIT MERTAJAM, AHAD, 04 Ogos, 2013: Seramai 7,000 pegawai dan anggota bomba dan penyelamat di seluruh negara akan bertugas sempena Aidilfitri ini, termasuk di 16 lokasi plaza tol di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kesemua mereka telah bersiap sedia bagi memberi bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

"Tahun ini hanya 30 peratus anggota bomba dan penyelamat yang akan bercuti (Aidilfitri) manakala bakinya bertugas di 267 buah balai dan di lebuh raya.

"Bagi lebuh raya, kita akan menggunakan anggota peronda bermotosikal yang akan memantau di kawasan yang kerap berlaku kes kecemasan.

"Jika ada kecemasan, mereka akan melaporkan terus ke balai berdekatan malah respons terhadap kes kecemasan juga lebih cepat dengan peronda bermotosikal terutama jika berlaku kesesakan lalu lintas," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Jalinan Mesra Bersama Pegawai dan Kakitangan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat, pegawai dan kakitangan bomba serta pesara jabatan itu.

Pada majlis sama, Wan Mohd. Nor turut menyampaikan sumbangan kepada balu anggota bomba yang meninggal dunia akibat kemalangan iaitu Mohd. Fauzi Zainal selain Madrasah Al-Falah dan Darul Ulum. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment