My Add

Monday 5 August 2013

Rakyat perlu sokong sebarang akta baharu

MUAR, AHAD, 04 Ogos, 2013: Langkah mewujudkan akta baharu menggantikan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 tepat pada masanya dan perlu disegerakan bagi menangani kejadian tembak dan bunuh di tempat awam yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, rakyat harus menyokong usaha tersebut atau sebarang langkah yang akan diperkenal kerajaan sebagai penambahbaikan peraturan keselamatan negara.

"Kita perlu menyokong sebarang usaha penambahbaikan dan itu bukan bertujuan mengembalikan ISA dan Ordinan Darurat 1960 yang dimansuhkan," katanya ketika ditemui selepas menutup Program Mahasiswa Turun Parlimen Muar (Mantap) di Taman Selera, di sini semalam.

Beliau mengulas tiga kejadian tembak dalam masa tidak sampai 10 hari dengan kes terbaharu membabitkan seorang pekerja kedai emas di Pandan Indah, Kuala Lumpur kelmarin.

Isnin lalu, pengasas Bank Arab-Malaysia, Hussain Ahmad Najadi, 75, maut ditembak di ibu negara dipercayai oleh pembunuh upahan.

Dua hari sebelum itu, pengerusi badan pemantau jenayah, MyWatch, R. Sri Sanjeevan juga parah ditembak dua lelaki ketika berhenti di lampu isyarat di Taman Cempaka, Bahau, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Razali menyarankan gerakan pemutihan dilancar bagi mengesan jumlah senjata api sebenar dimiliki orang awam sama ada berlesen atau tidak.

Menurut beliau, usaha itu bertujuan membendung kemasukan senjata api tidak berlesen di negara ini serta sebagai langkah menangani jenayah tersebut.

"Kita isytiharkan berapa banyak senjata api yang ada dalam negara. Kalau lebih daripada jumlah yang sebenar, bererti selebihnya adalah tidak berlesen. Perkara ini berkaitan dengan penemuan banyak senjata api oleh polis akhir-akhir ini," katanya.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, mengikut statistik, kes jenayah berat dan ganas meningkat begitu ketara iaitu dari 14,811 sepanjang tahun lalu kepada 15,098 kes bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment