My Add

Tuesday 20 August 2013

Tiada 'bom' jatuh dari bumbung

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Siasatan polis mendapati kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera terkena bahan letupan di rumah neneknya di Bukit Awang, Pasir Puteh di sini malam Jumaat lalu, berpunca daripada mercun buatan sendiri.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim sehubungan itu menafikan mangsa terkena bahan letupan yang jatuh dari bumbung rumah tersebut lalu meletup di hadapannya semasa kejadian.

Beliau berkata, mangsa, Mohd. Harith Danial Errman sebaliknya telah menyalakan mercun buatan sendiri ketika berada seorang diri di dapur.

"Siasatan awal telah dibuat di tempat kejadian dan mendapati tiada unsur khianat kerana letupan tersebut adalah mungkin daripada mercun buatan sendiri yang dinyalakan oleh mangsa sendiri.

"Tidak ada bungkusan (bahan letupan) yang jatuh dari bumbung, kalau bom akan merosakkan dapur tetapi tiada kerosakan yang berlaku," katanya selepas melawat mangsa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Mohd. Harith Danial, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara, dekat Kuala Lumpur mengalami kecederaan serius termasuk hancur tangan kiri dan melecur di muka selepas satu 'bungkusan' jatuh dari siling serta meletup di hadapannya.

Ketika kejadian mangsa sedang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri di rumah neneknya manakala ibu serta bapanya telah pulang ke rumah di Kuala Lumpur pada 11 Ogos lalu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Wad 2 Selatan, HUSM mendapati mangsa sudah sedar dan mampu memberikan respons dengan suara yang perlahan ketika diajukan soalan dan sudah mampu makan bubur nasi yang disuapkan ibunya.

Mohd. Harith Danial sepatutnya pulang ke rumah mereka pada Sabtu lalu kerana sesi persekolahan telah bermula hari ini.

Mazlan berkata, semasa kejadian, terdapat lapan orang di dalam rumah tersebut manakala mangsa berada seorang diri di dapur.

"Kita menganggap kes ini sudah selesai kerana tiada unsur khianat. Saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

"Saya juga menyeru kepada ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain mercun kerana merbahaya dan menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman seorang anggota tentera yang dipercayai terlibat dalam kejadian letupan bom di Taman Sri Periuk, Tumpat di sini pada 11 Ogos lalu.

"Tempoh tahanan reman suspek akan berakhir esok dan kita akan memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan ini untuk mengambil keterangan bagi melengkapkan siasatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment