My Add

Thursday 15 August 2013

Akta Undang-Undang Sivil dikaji semula

Oleh ROSALINDA MD.SAID

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kesesuaian pemakaian peruntukan Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67), khususnya tentang pemberian dan pengiraan ganti rugi bagi kecederaan diri serta kemalangan maut.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, hasil kajian awal mendapati terdapat peruntukan dalam Akta Undang-Undang Sivil itu yang boleh diperbaharui selaras dengan perkembangan ekonomi dan sosial negara yang telah banyak berubah.

Jelasnya, langkah itu bertujuan mendapatkan maklum balas orang awam tentang cadangan untuk menambah baik peruntukan Akta Undang-Undang Sivil tersebut.

"Bagi memastikan kajian semula akta itu lebih menyeluruh, satu borang Kaji Soal Selidik telah dimuat naik di halaman utama laman web rasmi Jabatan Peguam Negara di www.agc.gov.my," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Gani, Jabatan Peguam Negara mengalu-alukan sebarang maklum balas atau cadangan orang ramai berhubung penambahbaikan kepada Akta Undang-Undang Sivil itu

Jelasnya, orang ramai boleh mengakses borang Kaji Soal Selidik yang dimuat naik pada 6 Ogos lalu hingga 8 September ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment