My Add

Thursday 15 August 2013

Amin Bacho dalang culik ahli perniagaan

Oleh ANGELINA SINYANG

*  TUNG Wee Jie (dua dari kiri) menceritakan pengalaman pahitnya sebelum berjaya melarikan diri daripada tahanan Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, Filipina kepada ahli keluarganya di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan militan Darul Islam Sabah, Mohd. Amin Bacho adalah dalang di sebalik penculikan ahli perniagaan, Tung Wee Jie bersama sepupunya di Lahad Datu, Sabah pada 14 November tahun lalu.

Penglibatan Mohd. Amin dalam kes penculikan itu terbongkar hasil maklumat temu bual yang dijalankan oleh polis terhadap Wee Jie, 26, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Pasukan Khas (Operasi dan Anti Pengganas) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pengesahan tersebut dibuat oleh Wee Jie selepas pegawai polis yang menjalankan temuduga menunjukkan beberapa keping gambar suspek kepadanya.

Menurutnya, Mohd. Amin, 30, (gambar kecil) berasal dari Tawau, Sabah telah menyertai enam anggota kumpulan militan Abu Sayyaf menyerbu dan menculik Wee Jie bersama sepupunya, Tung Wee Wei, 34, ketika mereka memeriksa rumah sarang burung di sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu berdekatan Kampung Manakayan pada pukul 3.30 petang, 14 November tahun lalu.

"Wee Jie berjaya melarikan diri daripada penculik pada 4 Ogos lalu dan kembali ke Malaysia pada 8 Ogos lalu.

"Semasa dalam tahanan, Wee Jie memaklumkan Mohd. Amin pernah berbual dengannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu loghat Sabah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, polis pada November tahun lalu, membuka kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 ke atas Mohd. Amin kerana kesalahan menganggotai kumpulan militan Darul Islam Sabah.

Beliau berkata, kali terakhir pihaknya menjalankan operasi besar- besaran untuk memburu kumpulan Darul Islam Sabah adalah November 2011 yang membawa kepada penahanan 13 anggota kumpulan militan tersebut di Tawau.

Tambah Mohamad Fuzi, setakat ini, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada Wee Wei telah meninggal dunia dan PDRM akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Filipina bagi mendapatkan maklumat berkenaan mangsa.

Sementara itu, sumber memberitahu, Mohd. Amin pada awal 2001 pernah menyertai konflik di Poso, Indonesia.

"Mohd. Amin merupakan anggota Darul Islam Sabah yang pernah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri di Sabah sebagai tindak balas terhadap operasi polis pada 2006 di Tawau.

"Suspek menyertai kumpulan Darul Islam Sabah sejak 2001 dan pernah beberapa kali menjalani latihan ketenteraan di kem milik Abu Sayyaf di selatan Filipina antara 2005 hingga 2006," katanya.

Menurut sumber lagi, Mohd. Amin melarikan diri ke selatan Filipina pada 2006 selepas polis menjalankan operasi besar-besaran memburu anggota Darul Islam Sabah yang menyaksikan 16 anggota kumpulan itu ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Sejak itu, katanya, Mohd. Amin bergabung dengan kumpulan Abu Sayyaf dan terlibat melakukan beberapa serangan ganas di negara jiran itu.

Jelasnya, ini termasuklah penglibatan Mohd. Amin dalam insiden penyembelihan beberapa tebusan awam bersama anggota militan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada 2011.

"Rakaman penyembelihan tersebut pernah dimuat naik dalam laman YouTube," katanya.

Tambah sumber, Mohd. Amin kini adalah salah seorang pakar bom yang membantu kumpulan Abu Sayyaf dalam mengadun bahan letupan untuk serangan ganas termasuk insiden di selatan Filipina baru-baru ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment