My Add

Sunday 4 August 2013

Ambil tindakan terhadap The New Paper

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Kerajaan Singapura sepatutnya bertindak tegas terhadap akhbar republik itu, The New Paper termasuk meminta akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka berikutan tindakannya memburuk-burukkan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, tindakan itu wajar memandangkan laporan akhbar tersebut bertajuk Selamat datang ke Malaysia di mana... kematian adalah murah dan untuk kekal hidup sangat mahal sangat biadab dan berniat jahat.

"Jika tidak (memohon maaf), itu bermakna sememangnya kerajaan Singapura bersubahat dan mempunyai agenda memburuk-burukkan negara kita.

"Jangan sesiapa mempertikai komitmen negara dalam membanteras jenayah termasuk kegiatan pengganas yang mengancam keselamatan republik tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar semalam mendedahkan laporan akhbar Singapura itu yang dipercayai merujuk kepada kejadian tembakan oleh pembunuh upahan yang meragut nyawa pengasas Ambank Berhad, Hussain Ahmad Najadi.

Menurut Mohd. Puad, Singapura sepatutnya melihat kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini memberkas pegawai polis negara itu yang terlibat dalam kes pembunuhan sehingga mencemarkan imej polis republik tersebut yang kononnya terbaik di dunia.

Begitu juga, kata beliau, dalam kes pengganas Jemaah Islamiah (JI), Mas Selamat Ketari yang berjaya melarikan diri dari penjara Singapura yang kononnya mempunyai sistem kawalan keselamatan maksimum.

"Singapura berasa malu kerana kejadian itu menghuru-harakan negara tersebut kerana Mas Selamat dianggap musuh nombor satu. Tetapi sekali lagi dengan kecekapan PDRM, Mas Selamat berjaya diberkas dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment