My Add

Friday 16 August 2013

Automotif ASEAN rancak

Oleh FAIRUS KASSIM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: ASEAN akan menjadi pasaran automotif kelima terbesar dunia menjelang 2019 dengan Malaysia, Indonesia dan Thailand memainkan peranan penting.

Pengarah Penyelidikan Asia Pasifik Frost & Sullivan, Vijay Rao berkata, pengeluaran kenderaan di ASEAN dijangka tumbuh 5.8 peratus setahun untuk mencecah 4.71 juta buah menjelang 2019.

Menurutnya, ketika ini jualan di Indonesia dan Thailand sudah melepasi tahap sejuta buah, manakala Malaysia melebihi 600,000 buah setahun.

"Pengeluar-pengeluar kenderaan di Eropah mula mencari pasaran pengganti selepas pasaran di rantau berkenaan semakin tepu dan ASEAN dilihat berpotensi besar terutamanya melibatkan kenderaan penumpang," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Thailand merupakan peneraju ketika ini dengan merombak industri kenderaan penumpang dengan memberi fokus kepada kenderaan kompak dan mesra alam.

Indonesia pula dilihat bakal mengambil alih posisi Thailand menjelang 2019 dengan jangkaan menghasilkan 2.4 juta kenderaan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil, peningkatan golongan pertengahan, kemasukan pelaburan dan dasar mesra industri automotif.

Manakala Malaysia dijangka terus berkembang disokong oleh kemasukan banyak jenama luar baharu dengan harga yang lebih kompetitif dan dasar pasaran terbuka yang mula dilaksanakan.

Rao berkata, pasaran Thailand dilihat disokong oleh pasaran domestik dan juga eksport manakala Indonesia terus fokus kepada pasaran domestik yang besar serta terus menerima pelaburan asing untuk proses pengembangan.

Sementara itu, katanya, pengeluar alat tulen (OEM) dari Eropah dan China sedang melihat merancang membina kilang di Malaysia untuk dijadikan hab pemasangan dan pembuatan.

"Pertumbuhan ekonomi yang kukuh, peningkatan pendapatan serta pelaburan, peningkatan kapasiti pengeluaran dan pelancaran model baharu merupakan faktor utama pasaran automotif ASEAN.

"Dari segi cabaran pula, peraturan ketat, cukai dan pertumbuhan sistem pengangkutan awam dilihat memberi impak kepada pasaran sehingga 2019," jelasnya.

Mengulas mengenai Malaysia, beliau berkata, kerajaan sedang mempromosikan hab untuk kenderaan hibrid dan elektrik dengan menawarkan pengecualian cukai yang secara langsung melonjakkan jualan segmen berkenaan sebanyak 84 peratus tahun lalu.

"Segmen hibrid mempunyai potensi yang besar untuk berkembang jika kerajaan meneruskan insentif cukai berkenaan berikutan banyak model baharu dalam perancangan dan penerimaan pasaran," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment