My Add

Friday 16 August 2013

Parlimen Bagan Datoh, Tapah kekal milik BN

IPOH, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Dua Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak tiga petisyen yang difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencabar keputusan kerusi Parlimen Bagan Datoh dan Tapah yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Datuk Abdul Rahman Sebli memutuskan demikian selepas mendapati petisyen-petisyen tersebut yang difailkan calon kedua-dua kawasan itu serta seorang pengundi di Bagan Datoh tidak mematuhi Kaedah 9 yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Berdasarkan peraturan tersebut, hanya pempetisyen dibenarkan memfailkan petisyen pilihan raya dan bukan melalui firma guaman mahupun peguam yang dilantik.

Calon PKR di kerusi Parlimen Bagan Datoh, Madhi Hasan dan seorang pengundinya, Azmi Sulaiman memfailkan petisyen pada 11 Jun lalu manakala petisyen di Tapah pula difailkan calonnya yang juga pengundi kawasan itu, K. Vasantha Kumar pada 12 Jun lalu.

Pada PRU-13 lalu, Parlimen Bagan Datoh dimenangi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manakala Parlimen Tapah dimenangi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Serentak dengan itu, Hakim Umi Kalthum mengarahkan Madhi dan Azmi membayar kos masing-masing sebanyak RM25,000 kepada Ahmad Zahid yang dinamakan sebagai responden.

Hakim Abdul Rahman pula memerintahkan Vasantha Kumar membayar kos berjumlah RM150,000 iaitu masing-masing sebanyak RM50,000 kepada Saravanan; Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Tapah, Razali Bakar; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden pertama hingga ketiga.

Bagi ketiga-tiga petisyen itu, PKR diwakili peguam Edmund Bon dan Chong Kok Yew manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaludin.

Saravanan pula diwakili peguam Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek dan Badrul Hishah Abdul Wahap. Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Franklin pula mewakili responden kedua dan ketiga.

Responden-responden memfailkan bantahan awal pada 5 Julai lalu agar petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon dan pengundi daripada PKR di kedua-dua kawasan DUN tersebut dibatalkan dengan kos.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, Madhi kalah kepada Ahmad Zahid dengan majoriti 2,108 undi manakala Saravanan menang dengan majoriti 7,927 undi dalam persaingan empat penjuru menentang Vasantha Kumar (PKR), Shahruzzaman Bistaman (Berjasa) dan Ridzuan Bani (Bebas).

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya di negeri ini turut menolak enam petisyen yang difailkan Pas iaitu melibatkan DUN Manjoi, Pasir Panjang, Manong, Lubuk Merbau dan Selama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment