My Add

Friday 16 August 2013

Kabinet minta kepentingan negara diutamakan dalam TPPA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Kabinetnya mengarahkan perwakilan Malaysia di dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) untuk terus mempertahankan kepentingan negara berhubung syarat-syarat yang diletakkan di dalam perjanjian itu.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), arahan itu dikeluarkan hasil daripada Mesyuarat Kabinet Khas yang diadakan hari ini, bertujuan memaklumkan perkembangan proses rundingan kepada ahli kabinet serta untuk mendapatkan mandat daripada mereka.

"Kabinet sebulat suara hanya akan mempersetujui penyertaan di dalam TPPA jika syarat yang diletakkan benar-benar memihak kepada negara," menurut kenyataan itu hari ini.

MITI berperanan selaku wakil kerajaan di dalam beberapa rundingan TPPA yang kini telah memasuki pusingan ke-18.

Mesyuarat Kabinet Khas itu turut menampilkan beberapa wakil kementerian lain bagi membentangkan prospek dan cabaran negara menyertai perjanjian itu.

Dalam pada itu, kabinet juga bersetuju supaya dua analisis faedah dijalankan dengan memfokuskan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan milik bumiputera, selain kajian kesannya kepada negara.

Keputusan dua analisis itu akan dijadikan rujukan kepada perwakilan Malaysia di dalam rundingan yang seterusnya.

TPPA menjadi tumpuan ekoran syarat-syarat di dalam perjanjian itu yang didakwa boleh menggugat kepentingan negara khususnya kepada bumiputera.

Rundingannya juga dikatakan sudah hampir ke penghujung dengan jangkaan ia bakal dimuktamadkan Oktober ini.

Antara syarat yang paling menarik perhatian negara adalah lanjutan tempoh perlindungan hak cipta ubat-ubatan, pembukaan kontrak kerajaan serta pelabur asing boleh mengabaikan perundangan negara.

Hasil mesyuarat yang diadakan hari ini juga, kabinet berpendirian Malaysia tidak akan mempersetujui sebarang syarat yang menghalang negara untuk mendapatkan produk perubatan yang murah.

Kabinet turut berpandangan Malaysia tidak perlu terburu-buru memuktamadkan rundingan mengikut tarikh yang ditetapkan, selagi beberapa syarat itu masih belum memuaskan hati negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment