My Add

Friday 23 August 2013

Beri ruang pihak berkuasa jalankan siasatan - Hishammuddin

 *AHLI keluarga mangsa yang maut tidak dapat menahan sebak ketika menuntut mayat mangsa di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/WAHIDIN SALIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Ogos, 013: Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan serta tidak membuat spekulasi berhubung kemalangan bas ulang-alik Genting Highlands yang mengorbankan 37 orang di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur semalam.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jika diikutkan hatinya memang beliau mahu menghentikan sahaja perkhidmatan bas ulang-alik ke pusat peranginan itu.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak tidak boleh mengambil tindakan dan keputusan mengikut emosi kerana siasatan bagi mengenal pasti punca nahas adalah keutamaan pertama.

"Buat masa sekarang, kita mahu pastikan semua mangsa yang mengalami kecederaan pulih sepenuhnya dan melakukan siasatan untuk mengetahui punca tragedi.

"Jadi kita minta orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Jangan buat spekulasi dan menuding jari menyalahkan pihak tertentu yang mungkin tidak berdosa dalam kes ini," katanya dalam sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Hishammuddin sebelum itu meluangkan masa melawat dua mangsa yang cedera parah dalam kemalangan tersebut yang dirawat di HKL iaitu Saidah Misbun, 19, dan Tan Ming Shing, 26.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Kecemasan HKL, Datuk Dr. Abu Hassan serta Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.

Menurut Hishammuddin, siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan dijalankan oleh agensi berkaitan terdiri daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), SPAD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional dan telus.

Tambahnya, bagi membantu memudahkan lagi siasatan, beliau turut mewujudkan satu kumpulan bebas di bawah kementeriannya untuk membantu mengumpul maklumat daripada orang awam melalui telefon, emel dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) ke pejabatnya.

"Kumpulan bebas ini turut disertai oleh Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid menafikan laporan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa bas terlibat dalam kemalangan itu disenarai hitam dan membawa penumpang lebih muatan.

Beliau berkata, jumlah penumpang seramai 53 orang adalah tidak menyalahi undang-undang kerana bas henti-henti dibenarkan membawa 65 penumpang iaitu 45 orang duduk dan 20 orang berdiri dalam satu masa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengambil tanggungjawab meluluskan lesen kepada syarikat bas kerana isu kemalangan bas yang berlaku tiada kaitan dengan pengeluaran lesen bas.

"Kita akan melihat banyak perkara yang mungkin menjadi punca kemalangan seperti keadaan bas, ketinggian cerun dan keadaan fizikal jalan raya," ujarnya.

"SPAD memandang serius tragedi kemalangan dan menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk menubuhkan jawatankuasa penyiasatan khas bagi menyiasat secara terperinci punca kemalangan itu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment