My Add

Saturday 17 August 2013

Bersatu pertahan kalimah Allah

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Umat Islam diseru supaya tidak membiarkan mana-mana pihak cuba mengguna, mempermain atau menyamakan kalimah Allah dengan Tuhan agama lain.

Seruan itu disampaikan menerusi khutbah khas solat Jumaat oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Khairul Anuar Mulim hari ini yang mana beliau mengingatkan umat Islam bahawa kalimah Allah adalah nama khas bagi Tuhan Yang Maha Esa.

Dalam khutbah itu, beliau menyatakan kalimah Allah merupakan lafaz al-jalalah iaitu gelaran tertinggi dan paling mulia yang digunakan oleh umat Islam untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan kalimah itu termaktub lebih 20,000 kali di dalam al-Quran dan disebut sebanyak 425 kali oleh umat Islam dalam solat lima waktu setiap hari.

Menurut beliau, tindakan membiarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah bukanlah satu toleransi tetapi satu tindakan menggadaikan hak dan kedaulatan.

Beliau berkata, adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata sekiranya umat Islam membiarkan penganut agama lain menyalahgunakan konsep dan istilah penting dalam Islam.

"Perkataan Allah, solat, tauhid, rasul bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri.

"Kalimah-kalimah ini telah menjadi bahagian penting dari sudut pandangan Islam dan jika kalimah ini dikaburkan, maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan akidah umat Islam.

"Justeru, bagi sesiapa yang memahami persoalan ini, perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam dan sebarang tindakan 'mengimportnya' boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan dalam Islam mestilah dihormati," katanya.

Dalam pada itu, khutbah Jumaat yang disampaikan Khairul Anuar itu turut menjelaskan bahawa sungguhpun terdapat sesetengah agama lain menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan Tuhan mereka, namun ia bukanlah satu yang baharu dan mengejutkan dalam agama Islam.

Katanya, penjelasan mengenai persoalan konflik kalimah itu telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran menerusi surah al-Ikhlas sebagai wahyu kepada Rasullullah untuk menangkis dakwaan golongan Yahudi, Nasrani, Majusi dan musyrikin.

"Sesuatu yang diakui, sebelum kedatangan Islam, masyarakat jahiliah menggunakan kalimah Allah, tetapi ketika itu ia digunakan dari sudut bahasa sahaja. Kalimah Allah yang tertera dalam Bible versi Arab (seperti di Mesir, Syria dan lain-lain) yang wujud sebelum kedatangan Islam meyakini konsep keesaan Allah (Unity).

"Bagaimanapun, ia berbeza sekali dengan konsep tiga dalam satu (trinity) seperti mana ajaran kebanyakan penganut Kristian pada hari ini," jelasnya.

Dalam khutbah tersebut, beliau turut menyeru umat Islam supaya bersatu dan menyatakan bantahan terhadap apa jua usaha dari mana-mana pihak yang mencabar serta menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan negeri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment