My Add

Saturday 17 August 2013

Pemilihan peserta Projek KE7B Malaysia Greenland 2014 pada 24 Ogos

 * AKMAR Hisham Mokhles (dua dari kanan) menunjukkan logo Projek KE7B Malaysia Greenland 2014 pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) sekali lagi mengorak langkah dalam meneruskan misi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan menganjurkan Projek KE7B Malaysia Greenland 2014.

Penasihat Kehormat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, projek berkenaan melibatkan tujuh rakyat Malaysia yang bertuah dan memiliki kekuatan fizikal, mental dan semangat yang kuat untuk menjayakan misi yang dirancang.

Untuk tujuan itu katanya, sesi pemilihan peserta akan diadakan pada 24 Ogos ini pada pukul 7.30 pagi bertempat di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Semua rakyat Malaysia yang berusia di bawah 35 tahun dijemput untuk menyertai sesi pemilihan yang memperuntukkan ujian seperti larian sejauh 2.4 kilometer (km) di bawah 10 minit bagi lelaki dan 11 minit bagi perempuan.

"Misi sulung negara merentasi Greenland sejauh 550 kilometer ini akan berlangsung selama 35 hari pada April hingga Mei 2014 dan mengikut perancangan awal, pihak urus setia akan memilih dua peserta perempuan dan lima peserta lelaki," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Akmar Hisham, mereka yang berminat perlu menghantar profil peribadi dalam tiga muka surat melalui e-mel ke7bgreenland@gmail. com sebelum 21 Ogos, selain perlu bersedia untuk menjalani ujian kepintaran dan pengetahuan am.

"Pada 24 Ogos ini kita akan memilih 30 peserta untuk disenarai pendekkan, sebelum memilih 10 daripada mereka untuk menjalani latihan di luar negara iaitu di New Zealand, Australia dan juga Norway.

"Kita menjangkakan seramai 500 orang daripada pelbagai badan kerajaan dan swasta di Malaysia, termasuk pelajar universiti akan hadir pada sesi ujian 24 Ogos ini," katanya.

Mengulas mengenai Projek KE7B Malaysia Greenland 2014, Akmar Hisham berkata, projek berkenaan akan bermula di Ammassalik dan berakhir di Sondre Stromfjord yang meliputi jarak 550 km.

"Para peserta akan berhadapan dengan cuaca sejuk sehingga negatif 46 darjah Celsius, selain perlu menarik sendiri barangan dan peralatan seberat kira-kira 75 kilogram dengan menggunakan kereta penarik (sledge)," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin berkata, mana-mana badan korporat diminta tampil untuk menjadi penaja bagi membantu belia-belia negara membuktikan kemampuan di persada antarabangsa.

Selain itu katanya, mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Azman Hussin di talian 019-606500 atau 012-3970568 (Zainudin Lot) atau 011-22029522 (Siti Hanisah Sharuddin).

Sebelum ini, KE7B telah melakar pelbagai kejayaan buat rakyat Malaysia seperti pendakian tunjuk puncak tujuh benua 2010-2012, berbasikal dan bermotosikal merentasi 23 negara pada 2008, renangan perpaduan Selat Inggeris 2012 dan kejayaan terbaru Projek Everest Felda 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment