My Add

Saturday 17 August 2013

Kaji cadangan lagu Negaraku di pawagam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji secara serius cadangan memainkan lagu Negaraku di pawagam di seluruh negara sempena sambutan kemerdekaan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan itu bertujuan menunjukkan kecintaan rakyat kepada negara dan jika menjadi kenyataan, lagu Negaraku akan dimainkan sebelum tayangan filem bermula.

Katanya, antara tarikh yang sedang dipertimbangkan untuk memulakan cadangan berkenaan adalah beberapa hari sebelum dan selepas 31 Ogos atau sehingga 16 September iaitu tarikh pembentukan Malaysia.

“Saya akan berbincang dengan pengusaha panggung wayang dalam masa terdekat. Ini cuma sedikit pengorbanan bagi menghargai kemerdekaan dan mengingati mereka yang terkorban demi negara tercinta.

“Malaysiaku berdaulat tanah tumpahnya darahku. Kalau kita boleh berdiri sebelum perlawanan bola sepak, kenapa yang ini (di panggung) tidak," kata Ahmad Shabery sebagaimana dipetik daripada laman Facebooknya hari ini.

Tahun ini, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku menjadi tema sambutan kemerdekaan negara ke-56 tahun bagi mengingatkan rakyat mengenai kepentingan bersatu mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Shabery juga menerusi laman Facebooknya memberitahu, lagu tema kemerdekaan ke-56 tahun berjudul Tanah Tumpahnya Darahku telah diperdengarkan secara rasmi mulai hari ini.

“Lagu Tanah Tumpahnya Darahku dimainkan secara rasmi pada 16 Ogos di Dataran Zero, Jam Besar, Sungai Petani untuk majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-56," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment