My Add

Monday 26 August 2013

Boleh tarik nafas lega

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Warga kota boleh menarik nafas lega apabila projek My Rapid Transit (MRT) fasa pertama siap pada 31 Disember 2016.

Pengarah Strategik dan Komunikasi Awam MRT Corp., Amir Mahmood Razak berkata, MRT boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Katanya, kereta sering menjadi pilihan sebahagian pengguna kerana ia merupakan satu-satunya kenderaan yang mampu membawa penumpang dari luar Lembah Klang ke pusat bandar dalam tempoh 30 minit berbanding bas yang memerlukan lebih sejam pada waktu puncak.

Menurutnya, bagi memastikan matlamat untuk mengurangkan kesesakan tersebut, pengguna harus mengadakan anjakan paradigma.

"Orang ramai harus sanggup untuk tidak menaiki kereta masing-masing dan beralih kepada pengangkutan awam.

"Ini kerana, dengan adanya MRT, masa perjalanan adalah lebih singkat berbanding menaiki kereta yang mungkin akan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas," kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, dengan MRT, masa yang digunakan oleh orang awam ke destinasi mereka dapat disingkatkan.

"Ini kerana kekerapan bagi tren MRT adalah 3.3 minit iaitu bersamaan 17 pusingan dalam masa sejam.

"Oleh itu, pengurusan masa juga lebih cekap dengan adanya perkhidmatan MRT apabila ia siap nanti," ujarnya.

Projek MRT merupakan projek infrastruktur yang terbesar di Malaysia dengan inisiatif Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan.

MRT dijangka dapat menjana sebanyak 130,000 peluang pekerjaan dalam tempoh masa pembangunannya serta menjana Pendapatan Kasar Negara di antara RM3 bilion dan RM4 bilion setiap tahun dari 2011 ke 2020, hasil daripada pembinaan dan operasinya.

Dalam pada itu, antara RM8 bilion dan RM12 bilion akan dijana melalui kerja-kerja pembinaan.

Sementara itu, Amir memberitahu, fasa satu projek terbabit akan melibatkan jajaran dari Sungai Buloh hingga ke Damansara Height, manakala fasa dua yang dijangka siap pada Julai 2017 pula akan menyambungkan jajaran sehingga ke Kajang.

Beliau berkata, bagi memastikan matlamat menjadikan MRT sebagai penyelesaian dan pilihan warga kota sebagai pengangkutan utama mereka, sistem pengangkutan awam sokongan haruslah dipertingkatkan pada tahap yang lebih baik.

"Bas-bas pengantara haruslah disediakan supaya pengguna pengangkutan awam dapat sampai ke destinasi penghujung mereka dengan senang.

"Bagi memudahkan pengguna, pihak MRT Corp., juga telah menyediakan tempat meletak kenderaan di setiap 16 stesen MRT. Kami sediakan masing-masing 1,500 petak bagi setiap stesen penghujung dan 500 petak bagi setiap stesen pengantara.

"Tujuan kami menyediakan lebih banyak tempat meletak kenderaan di stesen penghujung supaya jumlah kenderaan yang masuk ke bandar dapat dikurangkan," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment