My Add

Monday 5 August 2013

Cari titik persamaan demi masa depan negara

PEKAN, AHAD, 04 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam di negara ini mencari titik persamaan walaupun berlainan fahaman dan ideologi politik dalam membina Malaysia ke arah masa depan yang lebih kukuh dan cemerlang.

Menurut Perdana Menteri, usaha itu akan mengembangkan syiar Islam dan mengukuhkan perpaduan sehingga menjadi umat yang berjaya.

"Kita mahu rakyat dan negara ini menjadi contoh kepada beberapa negara Islam lain kerana kehidupan masyarakat di sana tidak mengetahui bagaimana masa depan mereka.

"Kalau kita amalkan prinsip-prinsip agama Islam yang merupakan agama Persekutuan, maka akan wujud kehidupan masyarakat dengan lebih adil dan saksama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menunaikan solat tarawih dan menyampaikan sumbangan kepada 71 warga emas di Masjid Kampung Ganchong di sini malam ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud; ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ishak Muhammad.

Mengulas lanjut, Najib berkata, penyatuan umat adalah penting dalam menghadapi masalah dari dalam dan luar negara sekali gus bersedia berdepan dengan sebarang bentuk ancaman.

"Kita tidak berdepan konflik seperti negara Islam lain dan inilah hasil prinsip Islam sebenar yang kita amalkan. Kita mendapat keberkatan dan rahmat Allah dan ini perlu dipertahankan dan disyukuri," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment