My Add

Monday 19 August 2013

D'Saji dibenar operasi semula di Mekah musim haji tahun ini

JEMPOL, AHAD, 18 Ogos, 203: Anak syarikat Felda iaitu D'Saji, yang menyediakan perniagaan katering telah mendapat kebenaran untuk beroperasi semula di Mekah.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd Samad berkata, D'Saji dibenarkan beroperasi semula setelah memenuhi syarat kerajaan Arab Saudi iaitu mesti mendapatkan rakan kongsi tempatan di negara itu.

"Perkhidmatan D'saji sebelum ini terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Tetapi, kita kini telah memenuhi syarat itu dan dibenarkan beroperasi semula. Hari ini D’Saji operasi seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Felda Jaya, Bandar Seri Jempol di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai persediaan D'Saji menghadapi musim haji tahun ini, Mohd. Isa yang juga anggota Parlimen Jempol berkata D'Saji akan menambah bilangan tukang masak dan pekerja.

"Kita berharap untuk mendapat permit bagi menghantar empat atau lima orang lagi tukang masak kerana kita menghidangkan makanan Malaysia. Kerana itu, kita memerlukan pekerja," katanya.

Untuk menampung permintan yang agak tinggi pada musim haji kali ini, pihak D'Saji juga akan menambah bilangan pekerja terutama di bahagian dapur dan hidangan bagi melancarkan proses penyediaan makanan untuk jemaah haji, katanya.

Katanya, makanan Malaysia yang dihidangkan oleh Felda D'Saji Mekah mendapat sambutan menggalakkan daripada umat Islam seluruh dunia, lebih-lebih lagi ketika musim haji, umrah dan bulan Ramadan setiap tahun.

Restoran D'Saji menjual roti canai, nasi campur, nasi lemak, nasi goreng, nasi ayam, nasi beriani, mee goreng dan bihun sup.

"Masakan D'Saji memang sedap dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan mengikut harga barangan di pasaran tempatan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment