My Add

Tuesday 13 August 2013

Dua didakwa salah guna wang lebih RM646,683

PETALING JAYA, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Seorang bekas pengurus sumber manusia dan rakannya seorang pelajar warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan wang lebih RM646,683 empat bulan lalu.

Loh Mee Kee, 33, dan Ezechukwu Izuchukwu Samuel, didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyalahgunakan RM7,080 yang dikreditkan ke dalam akaun CIMB di empat buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Petaling Jaya di sini, 19 April lalu.

Bagi lima lagi pertuduhan, wanita itu dan lelaki warga asing terbabit didakwa melakukan perbuatan yang sama dengan masing-masing melibatkan wang RM7,080, RM21,825, RM203,566, RM203,566 dan RM203,566.

Perbuatan itu didakwa berlaku di cawangan CIMB SS2, CIMB Seksyen 14, di sini dan tiga buah mesin ATM di Petaling Jaya antara 19 April dan 1 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya mencadangkan Mee Kee diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan manakala Samuel tidak ditawarkan jaminan kerana tidak mempunyai pasport antarabangsa ketika ditahan.

Peguam M. Tharuma yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan kerana Mee Kee kini tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai tanggungan.

Hakim Yasmin Abdul Razak yang mendengar kes Mahkamah Majistret itu membenarkan wanita tersebut diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Beliau turut mengarahkan pihak pendakwaan mendapatkan pengesahan pasport bagi Samuel yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta itu.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 September ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment