My Add

Saturday 24 August 2013

Dua empangan hidro baharu

*PEMANDANGAN Empangan Hidro Elektrik Bakun yang merupakan empangan terbesar di Sarawak dan kini negeri itu merancang mempunyai dua lagi empangan baharu bagi memenuhi keperluan tenaga elektrik. - GAMBAR HIASAN
SIBU, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Sarawak merancang membangunkan dua lagi empangan hidro elektrik bagi memastikan bekalan elektrik tambahan antara 1,000 dan 2,000 megawatt untuk memenuhi keperluan pelaburan baharu bernilai antara RM20 bilion dan RM30 bilion.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) berkata kedua-dua projek itu akan dibangunkan di Baram, Miri dan Balleh, Kapit.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Simposium Kebudayaan Iban Keenam anjuran Yayasan Budaya Iban yang dipimpin oleh Tan Sri Celestine Ujang anak Jilan, di sini malam tadi.

Lebih 500 ahli akademik, politik, pegawai kanan kerajaan, pemimpin masyarakat dan anggota pertubuhan bukan kerajaan Iban dari seluruh negeri, menghadiri simposium tiga hari itu.

Ia merupakan sebahagian daripada siri acara sambutan Ulang Tahun ke-50 Kemerdekaan Sarawak, tahun ini.

Menurut Taib, Sarawak menerima kira-kira RM34 bilion nilai pelaburan setakat ini.

"Malah, saya terpaksa melewat-lewatkan projek-projek sementara menunggu empangan Baram dan Balleh dibina," katanya.

Sarawak, katanya, kini berada di gerbang gelombang kedua pembangunan, dengan perindustrian bakal menjadi enjin pertumbuhan melalui pelaksanaan SCORE, koridor pembangunan wilayah bagi tenaga boleh diperbaharui.

"Proses perindustrian yang lebih besar akan membawa perubahan menyeluruh serta cabaran yang berbeza daripada gelombang pertama, yang berteraskan pembangunan tanah.

"Ia juga akan merangsang penghijrahan bandar yang lebih besar kerana ini menyediakan peluang pekerjaan yang banyak. Masyarakat mungkin mengalami masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu ini," katanya.

Oleh itu, Taib berkata, tindakan pihak penganjur menjayakan simposium yang penting ini tepat pada masanya, kerana ia membawa masyarakat bersama-sama untuk mengenal pasti cabaran masa depan, masalah dalam memelihara nilai-nilai yang baik daripada mereka budaya, adat resam, bahasa, di samping hubungan antara satu sama lain.

Sementara itu, beliau mengulangi gesaan mengenai perlunya generasi baharu di negeri ini digalakkan menyertai kursus-kursus kerjaya yang akan menawarkan mereka pekerjaan dan peluang yang lebih baik pada masa hadapan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment