My Add

Saturday 24 August 2013

TPP: Perlu lebih memahami sensitiviti

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Menteri-menteri yang terlibat dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menerusi satu mesyuarat telah bersetuju perlunya penglibatan lebih mendalam bagi memahami sensitiviti antara satu sama lain secara berperingkat.

Para menteri juga bersetuju mengenai perlunya persetujuan yang bermatlamat bagi memudahkan perdagangan.

Mesyuarat yang diadakan pada 22 dan 23 Ogos 2013 itu telah dihadiri oleh menteri atau wakil dari 12 negara TPP dan berlangsung di Brunei.

Para menteri dijangka membentangkan laporan kemajuan kepada pemimpin-pemimpin TPP apabila mereka bertemu di Bali, Indonesia untuk Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik dari 7 sehingga 8 Oktober 2013.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, mesyuarat ini penting bagi memberi peluang kepada menteri untuk membincangkan pelbagai isu tertangguh.

"Antara isu telah dibincangkan ialah isu berkaitan akses pasaran bagi barangan, perkhidmatan merentasi sempadan, perkhidmatan kewangan, hak harta intelektual dan perusahaan milik kerajaan.

"Menerusi mesyuarat ini juga kami telah bersetuju bahawa teks rundingan tidak boleh dikongsi dengan mana-mana pihak berkepentingan malah alternatif lain untuk meningkatkan ketelusan perlu diterokai," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mustapa turut menyatakan mengenai pentingnya akses pasaran bagi Malaysia terutama untuk tekstil, minyak kelapa sawit, buah-buahan tropika dan produk-produk berasaskan pertanian.

Beliau berkata Malaysia menghadapi kesukaran terhadap cadangan perusahaan milik negara (SOE) yang dilihat menyimpang daripada objektif mewujudkan ruang yang saksama, dan ia menjejaskan SOE Malaysia.

Mengenai hak harta intelek, Mustapa berkata beliau menegaskan mengenai kedudukan Malaysia dalam isu akses kepada perubatan mampu ditanggung.

Selepas pusingan ke-19 di Brunei, Mustapa berkata kementerian itu bersama pelbagai pihak berkepentingan, bukan sahaja akan menyediakan hala tujuan masa depan, malah berkongsi kedudukan Malaysia dalam isu-isu yang sedang dibincangkan dengan kaukus parlimen, masyarakat awam dan kumpulan lain yang berkepentingan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment