My Add

Wednesday 21 August 2013

Dua skuad khas banteras jenayah, dadah

 * ZAHID Hamidi dan Marty Natalegawa berbual sebelum menghadiri Persidangan Khas Mengenai Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di Jakarta, semalam. - AGENSI
JAKARTA, SELASA, 20 Ogos, 2013: Kegelisahan dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini membuatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Mengakui rakyat Malaysia mempunyai asas untuk berasa bimbang, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menubuhkan dua skuad khas yang berpusat di Bukit Aman khusus memberi tumpuan terhadap usaha menangani jenayah dan mematahkan kegiatan pengedaran dadah.

Menurut menteri berkenaan, kedua-dua skuad khas itu akan memberikan fokus khusus kepada kumpulan sasaran tanpa melalui saluran-saluran birokrasi kepolisian seperti kelazimannya.

"Rakyat ada asas untuk bimbang kerana kejadian tembak, membunuh berlaku hampir setiap minggu. Saya juga ada bukti peningkatan dari segi statistik (indeks) jenayah khususnya di kawasan-kawasan red spot," kata Ahmad Zahid kepada wartawan di sini hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu menghadiri Persidangan Khas Mengenai Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa.

Pada masa sama, pengenalan Op Cantas juga, jelas beliau, merupakan komitmen berterusan PDRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dihapuskan.

Op Cantas merupakan antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha pencegahan di seluruh negara khususnya sejumlah kes tembak dilaporkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Justeru, Ahmad Zahid meminta semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak skeptikal terhadap usaha-usaha membanteras jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, langkah membasmi jenayah yang dibuat termasuk melancarkan 'perang' habis-habisan terhadap penjenayah jangan sesekali dipandang ringan kerana PDRM begitu komited dan serius mewujudkan rasa kepuasan dan kebolehpercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa itu.

"Langkah-langkah yang dibuat jangan disanggah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang merasakan kita (PDRM) telah melakukan sesuatu yang di luar batas-batas yang diizinkan.

"Inilah harga yang terpaksa dibayar apabila kumpulan yang melakukan jenayah ada di mana-mana (selepas EO dihapuskan)," tegas beliau lagi.

Melalui Op Cantas, Ahmad Zahid berkata, kesemua penjenayah yang ditahan oleh pihak berkuasa akan didakwa berlandaskan siasatan terperinci serta dibawa ke pengadilan memandangkan undang-undang pencegahan sudah dihapuskan.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga mempertahankan tindakan PDRM yang terpaksa menembak mati penjenayah dalam operasi memandangkan itu langkah terakhir untuk mempertahankan nyawa.

"Jika mereka (penjenayah) melakukan langkah yang agresif maka PDRM tak ada pilihan selain daripada mempertahankan diri. Apa yg berlaku ialah penjenayah mencabar PDRM," ujar Ahmad Zahid lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment