My Add

Wednesday 21 August 2013

Kerajaan terbuka dengar pandangan bernas mahasiswa
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima setiap pandangan yang bernas daripada golongan mahasiswa terutama melalui platform mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Walau bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu segala pandangan yang dikemukakan itu dibuat secara berhati-hati kerana idea-idea yang dilontarkan itu boleh memberi kesan kepada generasi akan datang.

"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan bernas yang dikemukakan oleh para pemimpin pelajar.

"Saranan itu akan menjadi input berguna kepada kerajaan dalam menggubal dasar-dasar awam di negara ini, namun kesemua pandangan tersebut hendaklah dibuat dengan penuh berhati-hati," katanya ketika merasmikan mesyuarat MPPK 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ditubuhkan pada Oktober 1999, MPPK membolehkan pihak kerajaan dan kepimpinan pelajar institusi pengajian tinggi membincangkan berkaitan hal ehwal pelajar, di samping ruang kepada mereka memberikan pandangan terhadap pelbagai isu semasa, selain bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negara.

Muhyiddin berkata, pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDSM1M) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang bertujuan mengurangkan beban kos pelajar adalah antara tindakan susulan hasil daripada mesyuarat MPPK sebelum ini.

Begitu juga katanya dengan kejayaan penganjuran Konvensyen Jaminan Makanan Negara membabitkan pemimpin mahasiswa, pelajar universiti dan ahli Kelab Usahawan Siswazah (MyAGROSIS) pada 16 Disember tahun lepas yang juga hasil mesyuarat MPPK.

Menurutnya, konvensyen itu menjadi wadah penting kepada para mahasiswa dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian dengan idea-idea segar dan saranan baharu bagi menjana kekayaan, seterusnya melahirkan generasi 'Agropreneur' negara, di samping menjamin bekalan makanan pada masa depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin percaya semua perwakilan dan ahli yang hadir dalam mesyuarat kali ini matang serta rasional dalam melontarkan pendapat masing-masing.

''Saya kira kehadiran ramai wakil dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan boleh disifatkan sebagai satu komitmen yang cukup tinggi dan positif ditunjukkan oleh pihak kerajaan iaitu betapa pentingnya MPPK yang kita adakan hari ini," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment