My Add

Wednesday 21 August 2013

Malaysia bersama 13 negara setuju tangani pergerakan manusia secara tidak sah

JAKARTA, SELASA, 20 Ogos, 2013: Malaysia dan 13 buah negara lain bersetuju untuk komited menyelaraskan tindakan menangani masalah pergerakan manusia secara tidak sah dalam bidang pencegahan, pengesanan awal, perlindungan dan pendakwaan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, persetujuan itu amat penting dan bermakna sekali kerana ia merupakan kali pertama penyelarasan dilaksanakan secara multilateral oleh negara-negara terbabit bagi menangani masalah pergerakan manusia secara tidak sah.

"Langkah multilateral ini akan menjadi satu SOP (prosedur operasi standard) bukan hanya dalam kalangan negara-negara yang terlibat dalam persidangan ini tetapi mungkin boleh diguna pakai untuk beberapa negara, dalam kes Malaysia ialah negara-negara dari Afrika," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Khas Mengenai Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di sini hari ini.

Pada akhir persidangan yang yang diadakan atas inisiatif Indonesia itu, kesemua 14 negara yang merupakan negara-negara terbabit dalam sama ada sebagai asal, negara transit atau negara tujuan dalam permasalahan pergerakan manusia secara tidak sah mencapai persetujuan berkenaan dalam Deklarasi Jakarta.

Selain Malaysia dan Indonesia, negara-negara yang menyertai persidangan khas yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa ialah Afghanistan, Australia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka, dan Thailand.

Persidangan khas tersebut bagi menyokong inisiatif serantau menerusi mekanisme 'Bali Process' bagi menangani isu-isu berkaitan pergerakan manusia secara tidak sah termasuk pemerdagangan orang, penyeludupan manusia dan perkara-perkara yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan.

Malaysia merupakan anggota bagi 'Bali Process' sejak penubuhannya pada 2002 yang dipengerusikan secara bersama oleh Indonesia dan Australia.

"Malaysia akan meneruskan komitmen dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menangani isu ini memandangkan ia adalah masalah serantau yang memerlukan penyelesaian secara kolektif dan holistik di peringkat serantau," katanya.

Malaysia, tegas Ahmad Zahid, tidak akan membenarkan negara digunakan sebagai transit bagi pergerakan manusia secara tidak sah dan menyekat sindiket penyeludupan manusia dan pemalsuan dokumen perjalanan terbesar di Rantau Asia Tenggara melibatkan seorang warganegara Iran oleh PDRM baru-baru ini adalah bukti jelas ketegasan Malaysia dalam isu itu.

Dalam kes pergerakan manusia secara tidak sah di Malaysia, Ahmad Zahid berkata, biarpun ada pelajar asing datang untuk belajar di Malaysia, namun mereka telah menyalahguna visa pelajar untuk melakukan kerja-kerja jenayah.

Perbuatan jenayah itu termasuklah pengedaran dadah yang tidak termasuk dalam kebenaran yang diberikan kepada para pelajar asing itu.

Justeru langkah-langkah yang akan diambil oleh Malaysia secara terselaras dengan negara-negara lain ialah mengetatkan pengeluaran visa dan dasar untuk mewujudkan integriti dalam pengeluaran visa.

Sementara itu, ditanya mengenai masalah pergerakan para pencari suaka politik pula, Ahmad Zahid berkata, Malaysia sentiasa bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dengan melakukan pemutihan melalui beberapa kaedah termasuk menghantar pulang bagi diputihkan untuk memasuki semula Malaysia.

Bagaimanapun , beliau berkata, seandainya orang yang mencari suaka berisiko untuk pulang, langkah-langkah selanjutnya diambil termasuk mengadakan pusat-pusat latihan kemahiran dan separuh mahir supaya mereka boleh menjadi tenaga kerja di Malaysia dan akan menjadi aset, bukannya liabiliti kepada negara. - UYUSAN 

No comments:

Post a Comment