ECER tarik pelaburan RM25 bilion, atasi sasaran
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan bernilai sehingga RM25 bilion setakat ini, mengatasi RM15 bilion pelaburan yang disasarkan untuk tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John berkata, berdasarkan kepada trend pelaburan yang menggalakkan, ECER mampu merealisasikan sasaran pelaburannya sebanyak RM110 bilion lebih awal daripada yang dijangkakan.
"Para pelabur menyaksikan proposisi perniagaan yang baik daripada pakej insentif fiskal yang menarik. Mereka bukan hanya melihat kepada permintaan domestik di negeri-negeri Pantai Timur tetapi juga di pasaran Asia Pasifik," kata beliau dalam persidangan akhbar di sini hari ini.
Wilayah ini telahpun menarik lebih RM50 bilion pelaburan sejak penubuhannya pada 2008, sekali gus mewujudkan hampir 40,000 peluang pekerjaan.
Teras strategik utama ECER ialah dalam enam kelompok utama iaitu pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian, pembangunan modal insan dan sektor pemboleh yang lain.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM6.6 bilion untuk pelaksanaan projek-projek strategik di ECER bertujuan mewujudkan persekitaran fizikal yang kondusif kepada pelabur.
Ia turut mengadakan program pembangunan sosial yang bertujuan meningkatkan status sosioekonomi pemastautin ECER.
Jebasingam berkata kedudukan ECER sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif amat nyata dengan kehadiran pelabur terkemuka termasuklah Kaneka Group of Japan, CJ Cheildang Korea, Arkema, Perancis, BASF Petronas dan Volkswagen.
"Terdapatnya insentif menarik untuk para pelabur yang termasuklah status perintis dan insentif yang boleh disesuaikan," kata beliau.
Jebasingam berkata kelembapan ekonomi tidak akan mempunyai kesan signifikan ke atas pelaburan ECER kerana para pelabur tertarik kepada sumber yang ada di rantau ini seperti Taman Biotek Bersepadu Kuantan yang mengendalikan penyelidikan dan pembangunan produk berasaskan sawit.
Pelabuhan Kuantan, yang pada masa ini dalam pembinaan, juga merupakan satu lagi pelaburan yang besar, tambah beliau. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment