My Add

Monday 26 August 2013

Puteri UMNO Melaka tubuh Sekretariat Mesir

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM

 MAS ERMIEYATI
ALOR GAJAH, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Pergerakan Puteri UMNO negeri menubuhkan Sekretariat Mesir yang bertindak sebagai pusat informasi bagi pelajar Malaysia di Mesir yang dibawa pulang ekoran pergolakan di negara itu mendapatkan maklumat terkini mengenai status mereka.

Ketua Puteri UMNO negeri, Mas Ermieyati Samsudin berkata, sekretariat itu berfungsi sebagai pusat untuk semua penuntut Malaysia di Mesir sama ada dari Melaka atau lain-lain negeri yang dibawa pulang mengemukakan masalah.

Beliau berkata, penuntut terbabit boleh menghubungi sekretariat itu pada bila-bila masa bagi mendapatkan informasi berkaitan hala tuju mereka setelah dibawa pulang dan penempatan bagi tujuan menyambung semula pengajian.

"Sekretariat ini membuka talian 24 jam sebagai penghubung antara penuntut dengan kementerian terlibat mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penuntut.

"Beberapa aduan telah saya terima antaranya berkaitan status mereka setelah dibawa pulang, penyambungan semula pengajian dan masalah kewangan," katanya ketika ditemui selepas majlis Malam Puisi Merdeka Raya di perkarangan stesen bas Masjid Tanah, di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, sekretariat berkenaan turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan lain kepada para pelajar yang dibawa pulang dan yang masih berada di Mesir.

Katanya, pelajar berkenaan, ibu bapa atau pihak yang terlibat boleh menghubungi sekretariat di talian 06-3843520 atau e-mel, sekretariatpu3melaka@gmail.com.

Jumaat lalu, sebanyak 23 daripada 42 pelajar tajaan kerajaan negeri Melaka yang melanjutkan pengajian di Mesir selamat dibawa pulang berikutan keadaan negara itu semakin tidak terkawal.

Difahamkan, pegawai hal ehwal pelajar Melaka yang kini berada di Mesir akan bekerjasama dengan kakitangan kedutaan Malaysia bagi menyelaraskan kepulangan baki 19 lagi pelajar secara berperingkat. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment