My Add

Saturday 17 August 2013

UTC sebagai hargai rakyat Kedah

ALOR SETAR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembukaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah adalah bagi menghargai rakyat negeri ini kerana memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut Perdana Menteri, UTC dibina dengan kos lebih RM50 juta itu adalah yang terbesar dan kelima di negara ini.

"Kita anggap ini satu kemajuan yang amat tepat iaitu UTC pertama selepas PRU-13 di Alor Setar bumi Kedah ini kerana rakyat memberi kepercayaan mengembalikan Kedah ke pangkuan BN, maka ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan BN kepada rakyat Kedah," katanya ketika merasmikan UTC di Jalan Kolam Air di sini hari ini.

Lebih 5,000 orang hadir dalam majlis yang turut disertai oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Sempena pelancaran itu, Najib turut menandatangani kapsul masa yang diserahkan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad. Kapsul masa itu akan dibuka semula sempena 25 tahun UTC Kedah pada 2038.

Perdana Menteri berkata, UTC Kedah merupakan lambang kerjasama erat antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sebagai pusat sehenti yang memainkan peranan luas iaitu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga bersama dan membantu mereka melaksanakan kegiatan tertentu.

UTC Kedah yang menjadi lambang pembangunan moden Alor Setar menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk keselamatan, kesihatan, perkhidmatan, kewangan, pembangunan belia, utiliti dan pendidikan.

Menurut Najib, UTC paling ramai dikunjungi setakat ini adalah di Ipoh, Perak dengan 2,500 pengunjung setiap bulan manakala UTC lain adalah di Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang.

Bagaimanapun, katanya, UTC Kedah adalah hab perkhidmatan paling lengkap dan merupakan satu-satunya yang menyediakan perkhidmatan meja perkhidmatan komuniti (CSD) bagi membolehkan masyarakat memohon mengadakan program kemasyarakatan dengan bantuan kepakaran agensi-agensi disediakan.

"Ketua kampung boleh memohon di CSD untuk diadakan ceramah kesihatan atau kempen derma darah di premis atau balai raya di kawasan masing-masing. CSD kemudiannya akan mendapatkan kerjasama Klinik 1Malaysia (untuk membantu melaksanakan program)," katanya.

Ketika melancarkan pusat sehenti itu, Perdana Menteri turut mengumumkan nama Kompleks Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diubah kepada nama baharu iaitu Kompleks UTC Kedah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment