My Add

Saturday 17 August 2013

Kibar bendera, hayati erti kemerdekaan

 * NAJIB Tun Razak melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan rasminya selepas merasmikan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2013 di Dataran Zero Kilometer,Jam Besar Sungai Petani, Kedah, malam tadi. - UTUSAN/Kamal Basir
SUNGAI PETANI, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik atau satu keperluan untuk menyambut sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, tindakan tersebut perlu disusuli dengan penghayatan atau erti sebuah perjuangan dan pengorbanan untuk mendapatkan kemerdekaan yang dihasratkan.

Malah katanya, usaha itu perlu menekankan semangat cintakan negara, patriotik dan penghayatan sepenuhnya kepada lambang kedaulatan serta jati diri.

"Apabila mengibarkan bendera, kita tidak mahu ia dilakukan secara simbolik tanpa membawa apa-apa pengertian di sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin sempena majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan di Dataran Zero Kilometer, Jam Besar Sungai Petani di sini malam ini.

Yang hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memilih tema Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku yang membawa pengertian mendalam terutamanya dalam mengajak rakyat menghargai kesukaran dan pengorbanan golongan perwira mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, kerajaan juga mahukan rakyat sentiasa mengingati pentingnya kekuatan dan kesanggupan mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara.

"Segala perubahan pada negara, masa depan yang kita yakini ini adalah hasil dari jerit payah dan pengorbanan. Jiwa raga yang dilakukan oleh pejuang-pejuang kita, wira-wira negara kita sanggup menyabung nyawa supaya negara kita ini terus merdeka dan bebas selamanya.

"Sebab itulah kita pilih tema ini, kerana kita tahu kemerdekaan kedaulatan akan terlepas kalau rakyat Malaysia tidak sanggup pertahankan," jelasnya.

Tegas beliau, peristiwa di Lahad Datu, Sabah turut menjadi iktibar terbaik kerana walaupun berjaya menumpaskan anasir-anasir luar, negara perlu membayar harga tinggi berikutan ada anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

"Kita hari ini sangatlah terhutang budi terhadap pasukan keselamatan, tentera dan polis yang sanggup mengorbankan nyawa mereka. Kita haruslah menyedari perkara ini dan bukannya jadi macam sesetengah pihak yang dakwa ia sandiwara.

Najib turut mengajak rakyat segenap lapisan masyarakat sentiasa mengingati kata-kata yang pernah dilontarkan pengasas kemerdekaan negara iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tentang kepentingan pengorbanan mengekalkan kedaulatan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment