My Add

Saturday 17 August 2013

Giliran MAINJ jalankan siasatan penuh

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menjalankan siasatan penuh terhadap kes bangunan surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang menjadi tempat ritual keagamaan bukan Islam, selepas polis selesai menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sivil.

Penasihatnya, Datuk Nooh Gadut berkata, siasatan tersebut adalah perlu untuk melihat perlanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pemilik resort tersebut mengikut Seksyen 7A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

"Pertama, sekurang-kurangnya kita dapat segala maklumat lengkap (tentang kesalahan yang dilakukan) dan kedua hasil siasatan akan diserahkan kepada penasihat undang-undang negeri sebelum ia dirujuk kepada Peguam Negara untuk dipertimbangkan.

"MAINJ akan buat siasatan sehingga lengkap dan itu semua (persepsi dan kritikan pelbagai pihak) akan terjawab nanti kerana undang-undang adalah untuk kebaikan semua. Sebelum lulus perkara itu telah dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan Parlimen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Nooh, tanggapan sesetengah pihak yang seolah-olah menggambarkan pemilik resort tersebut dihukum pihak berkuasa adalah tidak tepat dan beliau meminta orang ramai menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berwajib memandangkan ia menyentuh perkara sensitif.

Pengurus resort tersebut yang merupakan warga Singapura yang memiliki status penduduk tetap di negara ini, telah dibebaskan dari tahanan reman hari ini atas jaminan polis selepas selesai memberi keterangan dengan kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

Pihak polis yang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas dakwaan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan, kini menunggu arahan lanjut daripada pendakwa raya dan memantau segala aktiviti di sekitar resort berkenaan.

Nooh turut menyatakan harapan agar semua pihak menjaga keamanan dan kesejahteraan yang ada di negara ini kerana ia merupakan perkara penting dalam mendepani isu sensitif seperti ini.

"Saya minta orang ramai jangan jadi hakim dan mufti sebelum selesai semuanya dan biarlah pihak polis dan jabatan agama menjalankan tugas secara profesional. (Pihak) yang tahu tentang hukum tidak akan mahu melanggar hukum, malah lebih berhati-hati kerana melibatkan kepentingan awam," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nooh memberitahu bahawa siasatan terperinci oleh MAINJ terhadap surau tersebut mendapati kiblatnya tersasar 175 kilometer ke kiri Kaabah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment