My Add

Saturday 17 August 2013

Henti pertikai roboh surau

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

 * MOHAMED Khaled Nordin (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang sempena Pelancaran Bulan Kemerdekaan di Kluang, semalam. Turut kelihatan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohamad Aziz (tiga dari kanan) serta barisan Exco negeri. - UTUSAN/ZAINAL AZHAR MOHAMED
KLUANG, 16 Ogos, 2013: Kerajaan negeri mahu pelbagai pihak berhenti daripada mempertikai atau mempersoalkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu surau kontroversi di sebuah resort di Sedili Besar dirobohkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana kerajaan negeri tidak akan melayan pertikaian dari mana-mana pihak yang mahu berdebat berhubung isu tersebut termasuk oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurutnya, keputusan untuk meroboh surau berkenaan bukan dibuat secara sebarangan tetapi dititahkan oleh Sultan Ibrahim.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai persoalannya (Mohamed Nazri) dan tidak mahu berpolemik dengan isu ini. Sultan Ibrahim sebagai Ketua Agama Islam negeri telah menitahkan supaya surau itu dirobohkan dan kerajaan negeri akan ikut.

"Keputusan yang dibuat sultan telah meliputi segala aspek dan input selain melihat kepentingan surau di resort berkenaan yang jarang digunakan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri ke-56 di sini hari ini.

Nazri dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, mempersoalkan keperluan untuk merobohkan surau terbabit kerana isu tersebut sudah selesai selepas permohonan maaf dibuat oleh Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratana Nayake.

Mohamed Khaled bagaimanapun enggan mengulas bila surau itu akan dirobohkan kerana kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, berhubung pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang hari ini, beliau meminta rakyat memperteguhkan hubungan silaturahim antara kaum yang menjadi tulang belakang ketenteraman negara selama ini.

Katanya, bagi mewujudkan hubungan rapat antara kaum, sejarah perlu dijadikan panduan kerana asas kemajuan yang dikecapi hari ini merupakan hasil usaha pemimpin daripada pelbagai kaum sejak negara merdeka.

"Sejarah tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Walaupun sebahagian besar rakyat 'buta sejarah' tetapi mereka perlu diberikan didikan atau lebih baik dikenakan latih tubi agar mereka tahu perihal sejarah.

"Pengetahuan sejarah yang ada boleh menjadi pembakar semangat dan melontarkan idea dalam membangun dan meneruskan ekonomi serta agenda negara pada masa akan datang," kata Mohamed Khaled. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment