My Add

Saturday 17 August 2013

NGO sokong robohkan surau, lucut PR pemilik resort

KOTA TINGGI, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Kira-kira 300 ahli daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman bagi membantah kejadian penganut Buddha yang dibenarkan menggunakan surau menjalankan upacara keagamaan di sebuah resort di Sedili Besar, di sini hari ini.

Perhimpunan selama 30 minit itu melibatkan 10 buah NGO antaranya Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa); Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sedili Besar di Dataran Sedili Besar berhadapan Masjid Jamek Al-Muttaqin, Sedili Besar, di sini.

Peserta perhimpunan turut membawa sepanduk yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap insiden tersebut dan menggesa tindakan keras dikenakan ke atas pengurusan resort terbabit serta pemiliknya yang secara sedar membenarkan kejadian itu berlaku.

Yang Dipertua Perkasa negeri, Samat Atan berkata, perhimpunan itu memberi peluang kepada penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam menyuarakan kemarahan mereka terhadap pengurusan resort berkenaan.

"Pihak pengurusan jelas tidak menghormati serta tidak menjaga sensitiviti agama di negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

"Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya pengurus resort terbabit dan menganggapnya sebagai pengkhianat agama. Kami turut menyokong titah Sultan Johor yang mahukan agar surau berkenaan dirobohkan," katanya.

Samat juga mempersoalkan tindakan pengurus terbabit yang juga beragama Islam, tetapi seolah-olah sanggup menggadai akidah dengan membenarkan keadaan itu berlaku sehingga mengguris perasaan setiap umat Islam di negara ini.

"Surau itu wajar dirobohkan apatah lagi pembinaannya tidak mengikut syariah, malah arah kiblatnya tersasar jauh dari yang sebenar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, perhimpunan itu berjalan dalam keadaan aman dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Lebih 10 anggota dan pegawai dikerah mengawal perhimpunan itu, malah penganjur turut mematuhi arahan supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan keadaan tidak selamat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment