My Add

Sunday 11 August 2013

Guan Eng jangan cabul perlembagaan DAP

 * S. Rajasheger (kiri) menunjukkan isi kandungan Perlembagaan Parti DAP bersama David Dass dalam sidang akhbar di Labu, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN, SABTU, 10 Ogos, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dituntut tidak mencabuli perlembagaan parti dalam membuat sebarang keputusan terhadap ahli termasuk menjalankan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Naib Pengerusi DAP Cawangan Nilai Perdana, S. Rajasheger berkata, pemimpin terbabit wajar menelaah semula perlembagaan parti yang dipinda pada 9 Jun 2010 sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap ahli mahupun membabitkan parti.

"Perlembagaan ini bagaikan kitab kepada ahli termasuk pemimpin parti ini, maka semua ahli dan pemimpin perlu patuh dan dijadikan sebagai garis panduan.

"Jangan melampaui batas dan membuat keputusan serta mengambil tindakan sesuka hati. Kita ada perlembagaan, maka soal pemecatan termasuk pemilihan CEC perlu dilakukan mengikut Fasal dan Seksyen yang terkandung di dalamnya," katanya.

Beliau yang menerima surat pemecatan keahlian daripada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai pada 6 Julai lalu berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar, di Labu, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass.

Dalam pada itu, Rajasheger turut menekankan beberapa kandungan yang perlu dipatuhi Guan Eng sekiranya DAP mengambil keputusan melakukan semula pemilihan CEC.

"Antaranya Fasal 8 Seksyen 3 (a) yang mana setiap cawangan berhak menghantar perwakilan ke Kongres Parti mengikut syarat iaitu seorang wakil daripada antara 15 hingga 25 ahli cawangan yang telah membayar yuran.

"Sementara itu, dua perwakilan bagi 26 hingga 50 ahli cawangan yang telah membayar yuran dan seorang wakil bagi 51 hingga 100 ahli cawangan dan seorang perwakilan bagi setiap 100 ahli yang cawangannya ahlinya melebihi 100 orang," tegasnya.

Katanya, berpandukan Fasal 6 Perlembagaan, Guan Eng juga perlu memaklumkan secara bertulis kepada Setiausaha Cawangan sekiranya ingin menetapkan tarikh kongres parti sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 minggu.

Selain itu, kata beliau, Fasal 12 pula memperuntukkan ahli yang tidak menjadi perwakilan boleh menghadiri kongres sebagai pemerhati namun tidak dibenarkan mengundi.

"Ini penting kerana kita tidak mahu jadi seperti sebelum ini yang mana wujud sebanyak 547 perwakilan yang kita tidak tahu dari mana dibawa.

"Berpandukan Fasal 14, setiap perwakilan yang dipilih dibenarkan membuang undi dan berhak memilih 20 calon untuk CEC," katanya.

Menurut beliau, kesemua peruntukan itu merupakan sebahagian kandungan Perlembagaan DAP dan pemilihan CEC baharu dapat dilakukan dengan lebih telus dan adil berbanding sebelum ini jika dipatuhi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment