My Add

Saturday 17 August 2013

Hasutan: Pengundi Parlimen Ipoh Barat buat laporan polis

 * AHMAD Faizal Jaafar menunjukkan salinan laporan polis serta keratan kenyataan Ngeh Koo Ham dalam laman Twitter, di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/KHAIRUL ABIDIN NUAR
IPOH, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Seorang pengundi di Parlimen Ipoh Barat, Ahmad Faizal Jaafar hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman sosial Twitternya baru-baru ini yang didakwa berbaur hasutan.

Ahmad Faizal, 37, seorang penyelia di sebuah pasar raya di sini, tampil membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Sungai Senam kira-kira pukul 3.40 petang.

Menurut Ahmad Faizal, laporan polis itu dibuat bagi menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung kenyataan tersebut di bawah Akta Hasutan 1948 atau mana-mana peruntukan undang-undang bersesuaian atas prinsip pemeliharaan ketenteraman awam.

"Saya mendapati kandungan kenyataan itu bersifat menghasut selain mempunyai unsur penghinaan terhadap mahkamah sekali gus dilihat sebagai satu cubaan untuk memperlekeh sistem kehakiman.

"Pada pandangan saya, kenyataan itu boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai selain melahirkan persepsi negatif terhadap sistem kehakiman yang menjadi tunjang kepada keharmonian negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Koo Ham dalam laman sosial Twitter baru-baru ini, menyatakan rasa terkejut dengan keputusan mahkamah menolak petisyen pilihan raya pembangkang sehingga membolehkan BN mengekalkan kemenangan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Rungkup, Selama, Manjoi dan Lubuk Merbau.

Koo Ham dalam laman sosial itu juga dipetik sebagai berkata: Courts the place to hear election grievances, if they refuse to hear they are sending a message to aggrieved parties to go to the streets. (Mahkamah tempat untuk mendengar aduan pilihan raya, jika mereka enggan mendengar mereka menghantar mesej kepada pihak terbabit untuk pergi ke jalanan).

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan kenyataan Koo Ham yang mempersoalkan kredibiliti badan kehakiman berhubung keputusan petisyen pilihan raya itu sebagai berbahaya dan tidak bertanggungjawab.

Pembangkang kata Zambry, sepatutnya tidak bersikap hipokrit kerana petisyen yang dibuat Barisan Nasional (BN) juga ditolak oleh mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang pilihan raya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment