My Add

Saturday 17 August 2013

ROS boleh ambil tindakan lebih keras - Wan Junaidi

PUTRAJAYA, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: DAP yang diarahkan supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) patut berterima kasih kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana tidak dikenakan tindakan lebih tegas seperti pembubaran parti selepas berlaku kontroversi salah kira undi pada akhir tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ROS sebenarnya boleh mengambil tindakan lebih keras ke atas DAP, tetapi memilih cara berlembut dan berbudi iaitu sekadar meminta parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.

Beliau berkata, ROS sebenarnya boleh mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada DAP, pengeluaran surat ini boleh berakhir dengan pembubaran parti.

"ROS bagaimanapun tidak mengambil tindakan yang terlalu keras tetapi sekadar meminta DAP mengadakan pemilihan semula.

"ROS mahu memberi peluang kepada DAP untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan parti itu ketika mengadakan pemilihan CEC pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan DAP yang sering menyalahkan pihak lain termasuk ROS berhubung arahan pemilihan semula CEC parti pembangkang itu.

Setelah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, DAP semalam akhirnya akur dengan arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula CEC.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, tindakan mencaci ROS menunjukkan DAP tidak tahu mengenang budi apatah lagi berterima kasih kepada ROS yang berlembut terhadapnya.

"DAP perlu faham bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pernah dikenakan tindakan lebih tegas seperti arahan pembubaran.

"Daripada mencaci, DAP sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada ROS kerana tidak berdepan nasib yang sama seperti Snap," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment