My Add

Sunday 4 August 2013

Ibu rentung rumah terbakar

NORHIDAYU MOHD. HASSAN

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Hanya dalam tempoh 15 minit boleh memisahkan seorang ibu dengan suami dan empat orang anaknya setelah wanita itu rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan 3/8, Taman Puchong Indah, dekat sini awal pagi ini.

Apa yang menyedihkan tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, Norriza Mat Salleh, 36, kerani di sebuah syarikat swasta maut dipercayai kerana terperangkap dalam bilik utama rumah berkenaan berikutan asap tebal dan api yang marak.

Difahamkan, kira-kira 15 minit mangsa menjerit minta tolong dan meraung kepanasan di jeriji tingkap rumah berkenaan sebelum diam dipercayai sesak nafas.

Orang ramai cuba memadamkan kebakaran tersebut malah ada yang cuba memecahkan tingkap serta meredah masuk ke dalam rumah sehingga melecur di kaki setelah tangga ke tingkat atas rumah itu patah dijilat api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jafri Amat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.53 pagi dan segera menghantar 14 anggota bersama dua jentera dari Balai Subang Jaya dan Seksyen 7 ke lokasi kejadian.

Katanya, difahamkan suami mangsa, Azahar Samsuddin, 40, sebelum kebakaran itu sedang menonton televisyen di tingkat bawah sementara anak sulungnya, Mohd. Aiman Hakimi, 13, tidur di ruang tamu.

"Dia kemudian segera ke tingkat atas untuk mengejutkan isterinya yang sedang tidur dan tiga lagi anak mereka berusia antara 4 dan 11 tahun di bilik bersebelahan.

"Kita percaya dalam keadaan kelam-kabut itu suami mangsa tidak menyedari isterinya masih terperangkap dalam bilik ketika dia membawa keluar tiga anaknya itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Jafri, pihaknya berjaya memadam kebakaran sepenuhnya dalam tempoh 20 minit sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan rentung di tepi tingkap bilik tidur utama rumah mereka.

Katanya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

"Suami mangsa bersama dua anak lelaki dan dua perempuan berjaya menyelamatkan diri. Pihak kami percaya kebakaran ini berpunca dari tingkat atas. Kedua-dua tingkat atas rumah jiran kiri dan kanan mangsa turut rosak akibat kebakaran tersebut," ujarnya.

Sementara itu, jiran mangsa, Siti Rabiatul Adawiyah Mahmod, 29, berkata, dia dan suami hanya menyedari kejadian itu selepas adik lelakinya yang tidur di bilik tingkat atas mengejutkan kerana terhidu bau asap.

"Saya bergegas menyelamatkan anak-anak keluar dari rumah. Ketika itu, saya lihat ramai sudah berada di hadapan rumah dan kami semua lihat mangsa menjerit minta tolong dan meraung kepanasan," katanya sedih kerana sepatutnya pagi ini dia sudah pulang ke Kelantan untuk berhari raya.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu disebabkan litar pintas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment