My Add

Sunday 4 August 2013

Mercy Malaysia hantar bantuan perubatan ke Syria

KUALA LUMPUR , SABTU, 03 0gos, 2013: Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia akan menghantar ubat-ubatan dan peralatan perubatan bernilai RM200,000 untuk kegunaan pelarian negara tersebut pertengahan bulan ini.

Inisiatif itu akan disusuli dengan pembukaan beberapa klinik bergerak di bandar Kilis iaitu di sempadan Turki-Syria yang menempatkan lebih 20,000 pelarian tahun ini.

Naib Presiden II Mercy Malaysia, Norazam Ab. Samah berkata, pasukan penilaian pertubuhan itu sebanyak empat orang telah ke Syria, Turki dan Lebanon selama 10 hari baru-baru ini bagi meninjau keperluan bantuan yang perlu dihulurkan.

"Antara keperluan mendesak pelarian Syria adalah perkhidmatan kesihatan, pendidikan, peralatan kebersihan serta bekalan air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ahmad Faezal Mohamed.

Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan terdapat sebanyak 4.25 juta rakyat Syria menjadi pelarian dan konflik di negara itu turut menyebabkan 100,000 orang terbunuh.

Sebanyak 400,000 pelarian Syria ketika ini berada di Turki dengan 75 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak dan wanita manakala sebanyak 663,010 orang pula menjadi pelarian di Lebanon.

Dalam pada itu, Norazam berkata, anggaran kos keseluruhan misi bantuan perubatan di Syria berjumlah RM5.8 juta termasuk bekalan perubatan kanak-kanak, peralatan perubatan (utama), tabung darah, penjagaan kesihatan bergerak atau statik serta penjagaan selepas pembedahan serta pemulihan.

Menurut beliau, di kem-kem pelarian di Turki dan Lebanon keperluan perubatan sentiasa meningkat terutama di Lebanon yang menyaksikan kakitangan kesihatan semakin terhad.

Katanya, matlamat misi tersebut untuk jangka masa pendek dan sederhana adalah menyediakan keperluan asas kesihatan kepada pelarian Syria termasuk bekalan yang dapat membolehkan pihak perubatan tempatan meningkatkan keupayaan perkhidmatannya.

Jelasnya, untuk jangka masa sederhana, misi tersebut bertujuan melaksana pemantauan aktiviti kesihatan yang membolehkan pihak perubatan menguruskan perkhidmatan mereka dengan sistematik termasuk melibatkan klinik bergerak atau statik dan rawatan psikososial (menangani trauma).

"Matlamat jangka masa panjang pula adalah untuk menyediakan keperluan perubatan kepada pihak tempatan termasuk berkaitan kardiovaskular dan perkhidmatan vaskular seperti pembedahan, peralatan dan bekalan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment