My Add

Wednesday 14 August 2013

Ibu tunggal sepatutnya mendapat pembelaan dan sokongan

 Jamil Khir Baharom
KUALA LUMPUR , SRLASA, 13 Ogos, 2013:€“ Stigma perceraian biasanya lebih tertumpu kepada wanita daripada lelaki, menurut beberapa ibu tunggal.

Tidak tahu apa salahnya dan sebab mengapa masyarakat sentiasa berfikiran dan bersikap negatif terhadap wanita yang bercerai terutama ibu tunggal yang sepatutnya diberi sokongan dan pembelaan, kata mereka.

Antara cabaran utama yang sering kali ibu tunggal perlu hadapi ialah dari segi ekonomi dan kalau yang bekerja pula, penjagaan dan membesarkan anak seorang diri.

Bagi Atikah Rodzi, 28, beliau sendiri sudah lali dengan pandangan serong segelintir masyarakat terhadap golongan ibu tunggal, namun tanggapan itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan tanpa kehadiran seorang suami.

"Tiada siapa pun di dunia ini inginkan gelaran ibu tunggal, tetapi apabila saya tergolong dalam golongan itu, saya sedar saya tidak boleh berasa rendah diri untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut ibu tunggal yang mempunyai seorang anak berusia setahun itu, beliau diceraikan ketika masih dalam pantang, yang pada ketika itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan kerana menyambung pengajian di universiti tempatan.

Atikah berkata, selepas bercerai dengan suaminya, beliau dan anaknya hanya bergantung harap kepada ibu bapa dan adik-beradik yang simpati, namun ketika anaknya berusia lapan bulan, beliau ditawarkan bekerja sebagai kakitangan kerajaan.

"Syukur Alhamdulillah, berkat doa kedua-dua ibu bapa, saya mendapat tawaran kerja dan saya percaya tawaran ini juga merupakan rezeki anak.

“Apa yang penting jadikan cabaran dan dugaan itu sebagai batu loncatan untuk lebih berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masyarakat seharusnya membuang stigma terhadap ibu tunggal terutama yang masih muda kerana mereka memerlukan ruang untuk meneruskan kehidupan.

"Lazimnya keadaan ekonomi mereka tidak semuanya stabil. Jadi mereka memerlukan ruang dan masa untuk mencari rezeki, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak. Kalau mereka tidak ada anak sekali pun, mereka terpaksa membayar makan, minum dan sewa rumah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Jamil Khir menasihatkan ibu tunggal supaya menjaga batas pergaulan bagi mengelak daripada sebarang tohmahan sekali gus stigma masyarakat.

"Hal-hal yang membawa ibu tunggal kepada fitnah seeloknya dielakkan dan mereka perlu sentiasa beristiqomah dengan menjaga aurat, adab dan akhlak,” katanya. €- BERNAMA

No comments:

Post a Comment