My Add

Wednesday 14 August 2013

Mousticide perangi nyamuk

Oleh SOFIAN BAHAROM

 * TUNKU Naquiyuddin Tuanku Jaafar (dua dari kiri) menunjukkan produk anti-nyamuk di Kelab Diraja Selangor di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Ogos, 2013: Kes denggi dan malaria yang kian meningkat saban tahun di negara ini hanya boleh dibendung dengan berkesan sekiranya pihak berwajib menggunakan pendekatan holistik dalam usaha-usaha pencegahannya.

Selain kaedah semburan kabus yang cuma menyasarkan nyamuk-nyamuk dewasa, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan perlu menimbangkan supaya menggunakan kaedah pembasmian jentik-jentik secara efisien.

Sehubungan itu, Pengerusi Eksekutif EntoGenex Industries Sdn. Bhd. (EntoGenex), Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar berkata, produk baharu syarikat bioteknologi tempatan berkenaan iaitu Mousticide merupakan penyelesaian terbaik kepada peningkatan kes-kes tersebut.

Menurut beliau, produk berasaskan tomato liar tersebut sekiranya digunakan secara menyeluruh oleh kementerian di titik-titik panas (hotspot) kes denggi dan malaria seluruh negara mampu menjadikan Malaysia sebagai zon bebas nyamuk pertama di rantau ini.

"Kaedah semburan kabus yang diamalkan sejak 40 tahun lalu hanya menyasarkan nyamuk-nyamuk pembawa penyakit seperti aedes dan tiruk dewasa yang hidup dua minggu sahaja. Selepas nyamuk-nyamuk tersebut mati, jentik-jentik yang sedia ada akan menggantikan peranan membawa denggi dan malaria.

"Seekor nyamuk betina mampu melahirkan berjuta-juta nyamuk betina pembawa penyakit. Oleh itu, bukan nyamuk dewasa yang sepatutnya disasarkan, tetapi jentik-jentik yang berada di sekeliling kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengasas EntoGenex, Dr. Neil Ranaweera; Pengarah EntoGenex, Dr. Alan Brandt dan Pengarah Viper Challange, Simran Latiff.

Tunku Naquiyuddin berkata, keberkesanan Mousticide yang menggunakan teknologi saintifik Amerika Syarikat sememangnya terbukti baru-baru ini apabila syarikat berkenaan melakukan eksperimen menggunakan produk tersebut di titik-titik panas denggi paling aktif di negara ini iaitu berhampiran Batu Caves dekat sini.

Dalam pemerhatian pihaknya terhadap kawasan sebesar 92 hektar dengan lebih 5,000 penduduk itu, jelas beliau, didapati kawasan tersebut yang sebelum ini mencatatkan kekerapan kes denggi sebanyak dua kes setiap minggu telah berubah secara mendadak dengan tiada kes demikian sejak lima bulan lalu.

"Kami telah membuktikan keberkesanan produk ini kepada Kementerian Kesihatan dan berharap produk ini dapat menjadikan negara ini sebagai contoh sekiranya digunakan secara meluas," katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, Mousticide adalah produk berasaskan bahan semula jadi dan bukan bahan kimia atau racun seperti yang lazimnya digunakan pada produk-produk membasmi nyamuk lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, EntoGenex telah bekerjasama dengan beberapa pihak untuk menganjurkan acara larian kesedaran terhadap ancaman denggi dan malaria, Viper Challenge di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu dan Ahad ini.

"Larian sepanjang 20 kilometer, melibatkan lebih 10,000 peserta dan 20 halangan akan menguji ketahanan fizikal dan mental serta pada masa sama mempromosikan kempen membasmi penularan denggi dan malaria di negara ini,'' ujarnya.

Untuk maklumat lanjut berhubung larian berkenaan, orang ramai boleh melawat laman web rasmi Viper Challenge di www.viperchallenge.com. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment