My Add

Saturday 17 August 2013

Idris Haron sedia dicabar di Tangga Batu

MELAKA, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Ketua Menteri, Datuk Idris Haron sedia dicabar oleh mana-mana pemimpin UMNO yang berhasrat bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang disandangnya sejak 2008.

Menurutnya, beliau akan mempertahankan jawatan yang disandangnya menjelang persidangan perwakilan UMNO Bahagian tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, beliau tidak menghalang mana-mana ahli di bahagian tersebut yang ingin menawarkan diri bertanding merebut jawatan tersebut selaras dengan sistem demokrasi yang dilaksanakan dalam UMNO.

''Pemilihan kali ini secara demokrasi dan saya menyerahkan kepada kebijaksanaan ketua-ketua UMNO cawangan untuk menentukannya.

''Kali ini proses pencalonan tidak ada berdasarkan perlembagaan baharu parti pada semua pemilihan kali ini dan sesiapa sahaja yang berminat bertanding boleh mendaftar nama.

''Layak atau tidak layak untuk mereka bertanding hanya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi temu ramah secara langsung di radio Melaka FM di sini hari ini.

Ditanya mengenai kesemua jawatan dalam Bahagian Tangga Batu tidak ditandingi, Idris berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara tersebut kerana proses pemilihan kali ini melayakkan sesiapa sahaja boleh menawarkan diri mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

Katanya, bukan sahaja Bahagian Tangga Batu tetapi bahagian-bahagian lain juga tidak terkecuali jika ada ahli parti yang berminat ingin menawarkan diri bertanding pada pemilihan kali ini.

''Di Tangga Batu katanya, melihat dari segi semangatnya kita akan tetap mencari persamaan walau apa pun berlaku di dalam parti kerana yang lebih penting ialah memastikan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment