My Add

Saturday 24 August 2013

Indeks Harga Pengguna Singapura naik 1.9%

 *KENAIKAN kos pengangkutan jalan persendirian menyebabkan IHP Singapura meningkat kepada 1.9 peratus. - gambar hiasan
SINGAPURA, JUMAAT 23 Ogos, 2013: Selepas turun selama dua bulan berturut-turut, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) semua barangan, meningkat kepada 1.9 peratus pada Julai daripada 1.8 peratus pada Jun, pada umumnya disebabkan oleh kenaikan kos pengangkutan jalan persendirian.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) berkata, kos pengangkutan jalan persendirian naik dua peratus pada Julai berbanding penurunan 2.1 peratus pada bulan sebelumnya.

"Harga kereta meningkat berikutan kenaikan premium Sijil Kelayakan pada Jun dan pelaksanaan surcaj baharu ke atas sesetengah kereta di bawah skim kenderaan berasaskan pelepasan karbon," katanya.

Menurut kenyataan itu, harga di stesen minyak juga naik, selaras dengan trend meningkat harga minyak global kebelakangan ini.

Kenyataan itu berkata, kos penginapan meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.6 peratus pada Julai daripada 4.8 peratus pada Jun ekoran pembayaran rebat Caj Perkhidmatan & Penyenggaraan (S&CC) bagi isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan.

Inflasi perkhidmatan susut kepada 2.5 peratus pada Julai berbanding 2.7 peratus sebulan sebelumnya, ekoran kenaikan kecil kos perkhidmatan penjagaan kesihatan dan isi rumah.

Harga makanan meningkat 2.1 peratus pada Julai, lebih kukuh sedikit daripada 2.0 peratus pada Jun, sebahagian besarnya disebabkan oleh barangan makanan bukan masak yang lebih mahal.

Inflasi Teras MAS, yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan jalan persendirian, turun kepada 1.6 peratus pada Julai daripada 1.7 peratus pada Jun apabila penyederhanaan inflasi perkhidmatan jauh mengimbangi peningkatan sumbangan daripada harga makanan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment