My Add

Friday 2 August 2013

Malbatt diberi kepercayaan ambil alih kawasan operasi Ghana Battalion

TIBNINE (Lebanon), KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Kecekapan pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) dalam melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) terus diiktiraf apabila diberikan kawasan tanggungjawab terbesar di sektor barat negara ini.

Komander Malbatt 5, Kolonel Zainal Abidin Mohd. Said berkata, perluasan kawasan tanggungjawab itu melibatkan pengambil alihan kawasan operasi daripada pasukan Ghana Battalion (Ghanbatt).

Katanya, pembesaran kawasan tanggungjawab pasukan berkenaan bukanlah satu bebanan, sebaliknya merupakan suntikan moral kerana membuktikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menaruh kepercayaan kepada pasukan tentera Malaysia.

Menurutnya, perluasan kawasan tanggungjawab ini akan menjadikan Malbatt sebagai pasukan yang mempunyai kawasan operasi paling besar serta berada di tengah-tengah sektor barat Lebanon.

"Ini menjadikan tugas Malbatt lebih mencabar kerana berdasarkan sejarah, pergolakan berlaku bukan di kawasan 'Blue Line' (sempadan Israel), tetapi di kawasan operasi baharu kami.

"Sekiranya kami tidak dapat mengekang pergolakan daripada berlaku, bermakna Malbatt gagal menjalankan tugas. Selain itu, kami juga perlu memastikan setiap pasukan dari negara lain yang akan melintasi kawasan tanggungjawab kami bebas serta selamat untuk bergerak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kem Tibnine di sini.

Mengulas lanjut mengenai perluasan kawasan tanggungjawab itu, Zainal Abidin memberitahu, kem-kem Malbatt yang beroperasi ketika ini akan distrukturkan semula.

Katanya, buat masa ini penstrukturan semula kem-kem berkenaan sedang berlangsung dan dijangka siap sepenuhnya awal tahun hadapan.

"Penstrukturan itu melibatkan pembubaran kem Malaysian Company (Malcoy) di Kawkaba kerana selepas ini pasukan berkenaan akan digabungkan dengan Malbatt. Selain itu dua lagi kem Malbatt akan ditempatkan semula iaitu kem Harris dan juga Brashit.

"Selepas penstrukturan semula siap, Malbatt akan beroperasi dengan beberapa kem di kawasan tanggungjawab baharu selepas ini iaitu kem Marakah yang merupakan kem terbesar serta ibu pejabat Malbatt di sini, kem Tibnine dan juga kem Shamrock," jelasnya.

Menurut Zainal Abidin, antara kekuatan Malbatt yang menyumbang kepada prestasi cemerlang pasukan itu di Lebanon ialah menerusi program jiwa murni yang digerakkan.

"Program ini merupakan satu cara untuk memenangi hati dan perasaan penduduk tempatan. Kami lebih selesa mendekati serta memberi bantuan kepada penduduk sekiranya mereka memerlukan.

"Dengan ini, kami dilihat ikhlas membantu mereka (penduduk tempatan) menyebabkan pasukan Malbatt lebih mudah diterima berbanding pasukan lain," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment