My Add

Monday 12 August 2013

Jangan guna topi keledar tidak ikut piawaian

Md. Ziki
ALOR SETAR, AHAD, 11 Ogos, 2013: Ramai penunggang dan pembonceng motosikal di negeri ini didapati gemar menggunakan topi keledar berbahaya yang tidak menepati standard Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Bhd.

Pengarah JPJ Kedah, Md. Ziki A. Rahman berkata, perkara itu sedikit sebanyak menyumbang kepada risiko kematian jika berlaku kemalangan jalan raya.

Katanya, masih terdapat segelintir pengguna jalan raya itu gemar menggunakan topi keledar jenis kura-kura atau separuh muka.

"Dalam operasi yang dijalan JPJ sebelum ini masih ada penunggang dan pembonceng dikesan menggunakan topi keledar tidak mengikut piawaian.

"Mereka sebenarnya menggadaikan nyawa masing-masing kerana risiko kematian akan berlaku jika mereka ditimpa kemalangan jalan raya," katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, topi keledar tanpa pengesahan SIRIM tidak dapat melindungi bahagian kepala pengguna dengan baik ketika berlaku kemalangan.

"Saya ingin menasihatkan para penunggang dan pembonceng motosikal supaya menukar topi keledar murah kepada yang mempunyai cop SIRIM demi kepentingan nyawa sendiri," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan penunggang dan pembonceng motosikal itu mengikut peraturan dengan memakai topi tanpa mengira jarak perjalanan mereka.

"Kita dapat banyak juga yang tidak memakai topi dengan alasan ingin ke tempat yang dekat. Namun kita harus menjaga keselamatan diri dengan memakai topi keledar bukan kerana takut kepada pihak berkuasa," katanya.

Katanya, JPJ Kedah menugaskan 261 pegawai dan anggotanya untuk memantau perjalanan Op Selamat pada Aidilfitri kali ini.

"Antaranya kita akan melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres dan pemandunya, pemantauan di kawasan kerap berlaku kemalangan, rondaan di kawasan kerap berlaku kemalangan serta menyamar sebagai penumpang bas ekspres," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment