My Add

Tuesday 6 August 2013

Jawatankuasa khas teliti tanah Orang Asli diluluskan

* MASYARAKAT Orang Asli, Bah Jali (duduk, kanan) bersama rakan-rakannya melihat laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli yang disediakan oleh Suhakam dalam majlis penyerahan laporan tersebut di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Kerajaan telah meluluskan penubuhan Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli pada 19 Julai lalu bagi meneliti syor yang dibentangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu tanah masyarakat Orang Asal/Asli di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, pasukan itu akan diketuai Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

"Difahamkan senarai ahli jawatankuasa pasukan itu telah pun ada, namun masih belum diputuskan dan keanggotaannya kelak terdiri daripada kalangan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri, selain beberapa kementerian, jabatan dan agensi berkaitan,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima buku Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam majlis ringkas di Menara IIM, di sini hari ini.

Terdahulu, Hasmy berkata, Inkuiri Nasional itu julung kali diadakan oleh Suhakam dan pihaknya memutuskan untuk menerbitkan buku laporan tersebut setelah menerima banyak aduan secara berterusan berhubung isu tanah daripada masyarakat Orang Asal/Asli.

"Buku laporan tersebut dibahagikan kepada beberapa bab termasuk tiga bab berasingan bagi merekodkan isu-isu bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam buku laporan setebal 184 muka surat itu, Suhakam telah menyenaraikan 18 syor berkaitan enam isu utama iaitu pengiktirafan hak adat Orang Asal/Asli terhadap tanah, remedi bagi tanah yang hilang, menangani isu-isu dan ketidakseimbangan pembangunan tanah.

Lain-lain isu termasuk mencegah kehilangan tanah adat Orang Asal/Asli di masa hadapan, menangani isu-isu pentadbiran tanah dan mengiktiraf tanah sebagai nadi kepada identiti golongan tersebut.

Dalam masa sama, Hasmy menerusi satu daripada syor itu berharap kerajaan dapat menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan tentang Orang Asal yang bebas, berfungsi antara lain meneliti pengiktirafan secara berkesan serta mempromosi dan melindungi hak Orang Asal/Asli terhadap tanah dan identiti mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment