My Add

Saturday 17 August 2013

Jonker Walk: Detik mencabar Idris jadi Ketua Menteri

 * IDRIS Haron (kanan) bercakap secara langsung di Konti Radio Melaka FM semasa sesi temu bual sempena 100 hari menjadi Ketua Menteri Melaka, semalam.
MELAKA, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Penutupan Jonker Walk adalah antara isu yang disifatkan sebagai detik paling mencabar dilalui oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron apabila genap 100 hari beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini.

Menurutnya, beliau tidak pernah membuat kenyataan untuk menutup perniagaan di kaki lima Jonker Walk yang menjadi kunjungan pelancong setiap hujung minggu.

Sebaliknya katanya, beliau sekadar mengesyorkan jalan yang ditutup pada setiap hujung minggu dibuka semula bagi melihat keberkesanan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di bandar raya Melaka.

‘‘Niat baik kita untuk melegakan kesesakan lalu lintas di bandar raya Melaka ini setelah kajian dan pemerhatian dibuat ialah membuka semula jalan yang ditutup pada setiap hujung minggu.

‘‘Sebaliknya, orang menuduh kita cuba membalas dendam dan jika saya cuba membalas dendam, apa yang saya dapat?

‘‘Bagi saya inilah antara peristiwa paling mencabar sepanjang tempoh menjelang 100 hari saya menjadi Ketua Menteri kerana apa sahaja tindakan diterjemahkan sebagai negatif," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi temuramah secara langsung di radio Melaka FM sempena genap 100 hari menjadi Ketua Menteri di RTM Melaka di sini hari ini.

Sehingga kini, jalan yang dicadangkan untuk dibuka untuk semula itu masih belum dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di Jonker Walk.

Selain isu Jonker Walk kata Idris lagi, pemindahan Bazar Ramadan di Taman Cempaka berpindah ke Jalan Hang Tuah turut menjadi isu hingga beliau dikecam oleh pelbagai pihak.

‘‘Ramai peniaga di Taman Cempaka menuduh saya dengki dan iri hati serta cuba membalas dendam kerana bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kalah di Parlimen Bukit Katil dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu," katanya.

Beliau berkata, tuduhan itu tidak berasas sama sekali setelah Bazar Ramadan Mega yang dibuka sebulan sepanjang bulan puasa yang lalu, membawa rahmat kepada semua peniaga yang beroperasi di situ. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment