My Add

Saturday 17 August 2013

Jual MAS bukan langkah bijak - Azwanddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Cadangan menjual Malaysia Airlines (MAS) bukan langkah bijak untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dialami syarikat penerbangan milik kerajaan itu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, MAS bukan sahaja harta bernilai milik negara malah merupakan maruah negara yang perlu dipertahankan.

''Dalam menyelesaikan masalah MAS, semua pihak sepatutnya memandang lebih jauh dan melihat pada kesan yang akan dialami dalam jangka panjang.

''Saya yakin masih ada jalan yang boleh difikirkan untuk menyelamatkan MAS," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berhubung cadangan supaya kerajaan keluar daripada industri penerbangan dengan menjual MAS.

Menurut Azwanddin, walaupun tidak mencatat keuntungan tinggi, MAS masih mampu memberi manfaat terutama kepada rakyat di negara ini.

''Selain menyediakan peluang pekerjaan, kewujudan MAS memberi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik pada harga berpatutan," katanya.

Azwanddin berkata, pemikiran Idris itu yang seolah-olah hanya ingin 'melepas tangan' menunjukkan beliau bukan seorang ahli ekonomi yang bertanggungjawab.

''Sepatutnya sebagai seorang menteri, beliau mencari jalan mempertahankan syarikat penerbangan negara itu bukannya berfikiran cetek dengan menjualnya," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment