My Add

Friday 23 August 2013

Kad pengenalan khas pekerja asing

PUTRAJAYA, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Kerajaan memperkenalkan kad pengenalan khas untuk 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kad pengenalan baharu itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

Beliau berkata, warna kad pengenalan itu akan ditentukan mengikut sektor pekerjaan dan tindakan pekerja Bangladesh untuk bertukar-tukar sektor akan menyebabkan mereka didenda sehingga RM12,000.

“Selain itu kita juga mengenakan syarat tambahan kepada majikan supaya mereka menyediakan perumahan sementara kepada pekerja-pekerja Bangladesh. Soal perumahan untuk pekerja perladangan tidak timbul masalah, tetapi soal perumahan untuk sektor lain perlu diselesaikan.

“Penyediaan tempat tinggal ini bertujuan menjaga kebajikan pekerja selain memastikan tidak berlaku masalah asimilasi sosial dengan penduduk tempatan," katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Penggajian Luar Negara Bangladesh, Khandker Mosharraf Hossain di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kemasukan 1.4 juta pekerja Bangladesh itu telah dipersetujui semasa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan dan perkhidmatan.

“Kita menyasarkan 2,000 pekerja Bangladesh dibawa masuk setiap minggu atau 8,000 orang dibawa masuk setiap bulan.

“Selain itu, kita juga sedang memutihkan kira-kira 64,000 pekerja Bangladesh sedia ada di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pekerja Bangladesh akan dibawa masuk melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G to G) untuk mengelakkan peranan orang tengah dan eksploitasi pekerja asing.

“Kita turut mengadakan perbincangan dengan negara lain supaya pendekatan ini boleh diperluaskan ke lebih banyak negara, kita berharap ia dapat dilaksana dengan Indonesia dan Myanmar pada awal tahun depan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment